Kedah terima laporan penjualan sijil vaksinasi palsu

Mohd Hayati
Mohd Hayati
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah ada menerima laporan berhubung kes penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu dipercayai melibatkan doktor di negeri ini.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman tanpa mendedahkan butiran terperinci memberitahu kes penjualan sijil vaksinasi palsu itu bagaimanapun masih dalam siasatan.

"Ada, jual sijil palsu pun ada. Bagaimanapun masih dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita juga tidak boleh dedah doktor bertugas di mana, disebabkan ia sedang disiasat lagi. Tidak banyak tetapi ada kes," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.

Mohd Hayati berkata, kes itu dipercayai ada hubungan dengan beberapa individu membuat pembelian sijil vaksinasi palsu di Terengganu pada minggu lepas.

Sebelum ini, seorang doktor sebuah klinik swasta ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang, dekat sini, pada 8 Januari lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Dalam perkembangan lain, kata Mohd Hayati berkata, sebanyak 15 kes varian Omicron dikesan di negeri ini melibatkan individu yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Artikel Berkaitan: