Sabah tubuh jawatankuasa pantau sekolah daif, keselamatan murid

Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah akan memberi fokus kepada sekolah-sekolah daif dan sekolah yang tidak selamat termasuk keadaan keselamatan pelajar ke sekolah.
Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah akan memberi fokus kepada sekolah-sekolah daif dan sekolah yang tidak selamat termasuk keadaan keselamatan pelajar ke sekolah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah ditubuhkan bagi mendapatkan maklumat dan memantau keadaan semasa di semua sekolah di negeri ini terutama di kawasan pedalaman.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jawatankuasa itu membabitkan seramai 15 ahli jawatankuasa termasuk Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.

"Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah yang dipengerusikan saya sendiri akan memberi fokus kepada untuk kita mendapatkan maklumat sekolah-sekolah daif dan sekolah yang tidak selamat di Sabah termasuk keadaan keselamatan murid dan pelajar ke sekolah.

"Kita akan laksanakan mesyuarat dua bulan sekali untuk bersama-sama berbincang bagi mencari penyelesaian berhubung masalah yang dihadapi sekolah-sekolah terutama di kawasan pedalaman," katanya kepada pemberita di Menara Kinabalu pada Rabu.

Mohd Arifin (kanan) mengiringi Masidi ketika melancarkan Program Bagus, Bisbah dan Aksa di Menara Kinabalu di Kota Kinabalu.
Mohd Arifin (kanan) mengiringi Masidi ketika melancarkan Program Bagus, Bisbah dan Aksa di Menara Kinabalu di Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri berhubung beberapa isu timbul membabitkan keselamatan murid dan pelajar di Sabah sebaik sesi persekolahan dibuka pada minggu lalu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keadaan keselamatan murid dan pelajar terutama di pedalaman di negeri ini dilihat seolah-olah terancam berikutan tular beberapa situasi mereka terpaksa meredah pelbagai rintangan untuk ke sekolah.

Antaranya, ada murid dan pelajar terpaksa melalui jambatan gantung yang rosak, terpaksa memanjat tembok berikutan jalan raya sedang dinaik taraf dan sekumpulan murid dalam keadaan bersesak tanpa memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot.

Artikel Berkaitan:

Diminta mengulas lanjut, Mohd Arifin yang juga Exco Pendidikan berkata, pihaknya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan sentiasa mengambil tahu keadaan yang dihadapi murid dan pelajar di negeri ini.

"Saya akan mendapatkan maklumat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing untuk mengetahui situasi yang sebenar. Insya-ALLAH, kita akan berbincang untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

"Kita akan membuat jelajah awal Februari ini ke PPD seluruh Sabah dan kita termasuk ADUN kawasan sentiasa ambil peduli berhubung perkara ini," katanya.

Sebelum itu, beliau hadir pada majlis menyampaikan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti) dan Pelancaran Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sabah (Bagus), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (Bisbah) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (Aksa) 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.