[VIDEO] Sijil vaksin palsu: Tiga pekerja klinik, lima pembeli ditahan

Kamarul Zaman menunjukkan gambar suspek yang terlibat dengan sindiket pemalsuan sijil vaksin.
Kamarul Zaman menunjukkan gambar suspek yang terlibat dengan sindiket pemalsuan sijil vaksin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sindiket penjualan sijil vaksin palsu yang beroperasi di bandar raya ini berjaya dibongkar susulan penahanan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli sijil berkenaan pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang pemilik sebuah klinik swasta pada jam 10.53 malam, Ahad lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat pengadu, polis menahan lapan suspek berusia 24 hingga 42 tahun di sekitar Johor Bahru membabitkan tiga pekerja klinik itu dan lima pembeli sijil digital vaksin yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Turut dirampas lapan telefon bimbit milik suspek termasuk pembeli yang mengandungi imej sijil digital vaksin tidak sah selain komunikasi perbualan antara kakitangan klinik dan pembeli berkenaan serta peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima sijil vaksin digital palsu dalam sistem MySejahtera.

"Kesemua rampasan akan dianalisa bagi mengenal pasti individu yang didaftarkan menerima sijil vaksin palsu di dalam MySejahtera tanpa menerima suntikan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Kamarul Zaman berkata, sindiket dipercayai menggunakan ejen atau wakil yang diperoleh dari Facebook atau kumpulan WhatsApp bagi mencari individu yang mahu sijil digital vaksin tanpa perlu disuntik.

Katanya, pembeli terdiri daripada golongan antivaksin dan orang awam yang perlu menggunakan MySejahtera bagi membolehkan mereka melancong.

"Kakitangan klinik yang mempunyai akses kepada pendaftaran MySejahtera akan menerima bayaran antara RM300 hingga RM650 bagi setiap sijil digital vaksin palsu yang didaftarkan ke aplikasi terbabit tanpa menerima sebarang suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Ejen pula akan dibayar komisen sebanyak RM125 bagi setiap sijil digital palsu yang diperoleh," katanya.

Beliau berkata, terdapat sekurang-kurangnya 22 lagi pembeli sijil vaksinasi palsu telah dikenalpasti dan kini sedang giat dikesan.

"Kesemua 22 pembeli sijil vaksinasi palsu itu diminta menyerah diri segera sebelum polis membuat penahanan terhadap mereka," katanya.

Katanya, dua kakitangan klinik swasta berkenaan yang ditahan pada Isnin lalu direman empat hari bermula Selasa, manakala seorang lagi kakitangan klinik berkenaan yang ditahan Selasa akan direman mulai Rabu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.