Apa jadi dengan SJKT Ladang Minyak?

June Leow bersama antara jawatankuasa yang ditubuh bagi menyelesaikan isu tersebut.
June Leow bersama antara jawatankuasa yang ditubuh bagi menyelesaikan isu tersebut.
A
A
A

SERENDAH - Pembinaan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Minyak, di sini tertangguh sejak sembilan tahun lalu.

Dua kali majlis pecah tanah pada 2012 dan 2015 membabitkan kos pembinaan berjumlah RM6.43 juta.

Namun bangunan sekolah yang dijanjikan itu belum terbina sehingga sekarang.

Pembinaan sekolah baharu bagi memindahkan SJKT Ladang Minyak di Bestari Jaya berusia 87 tahun yang menghadapi masalah kekurangan murid.

Kerajaan yang memerintah pada PRK Hulu Selangor 2010 menawarkan pembinaan sekolah itu di Bandar Serendah sebagai janji pilihan raya.

Tapak baharu yang dikenal pasti adalah milik sebuah syarikat perindustrian seluas 0.81 hektar.

Pemilik tanah menyerahkan sumbangan tanah bernilai RM800,000 itu kepada Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) SJKT Ladang Minyak Serendah selaku Pemegang Amanah Sekolah.

Justeru, pada Jun 2012, majlis pecah tanah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan maklumat daripada Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor (PTDHS), majlis perjanjian pindah milik antara syarikat perindustrian terbabit dengan LPS diadakan pada Januari 2013.

Permohonan Kebenaran Pindahmilik yang dikemukakan melalui sebuah syarikat guaman pada Mei 2014, tidak dapat diproses berikutan permit tugas LPS tamat tempoh (berakhir 31 Disember 2012).

Syarikat guaman yang dilantik, melakukan semakan permohonan pada 21 Januari 2015.

Bagaimanapun, permohonan tersebut ditolak atas sebab sama iaitu dokumen dikemukakan tidak lengkap termasuk permit bertugas LPS tamat tempoh.

Walaupun demikian, sekali lagi majlis pecah tanah diadakan pada 4 Februari 2015 yang dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.

Pada 5 Februari 2015, PTDHS menerima faksimili daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berhubung senarai LPS baharu bagi tempoh bertugas sehingga 9 November 2015.

Terdapat kerja tanah dan cerucuk di tapak pembinaan sekolah sebelum diberi notis berhenti kerja yang dikeluarkan Jabatan Kejuruteraan MDHS pada 6 Disember 2016.

Pihak sekolah melakukan kerja tanpa kelulusan apabila tiada sebarang permohonan pelan kerja, jalan dan perparitan dikemukan kepada MDHS.

Bagaimanapun, pembinaan SJKT Ladang Minyak Serendah memasuki fasa baharu apabila PH memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor melalui June Leow Hsiad Hui pada PRU14 lalu.

June Leow berkata, pengerusi LPS pertama hadir ke PDT Hulu Selangor pada 3 Julai 2018 dan memaklumkan bahawa sekolah berkenaan (di Bestari Jaya) ditutup kerana ketiadaan murid serta guru.

"Saya melakukan semakan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor bagi mendapatkan maklumat namun tiada satu helai surat pun berhubung pembinaan sekolah itu.

"Berdasarkan maklumat diperoleh daripada PDT Hulu Selangor menunjukkan wujud isu berbangkit mengenai dua LPS berbeza ketika kerajaan BN yang akhirnya menyebabkan sekolah ini gagal dibina," katanya.

June Leow berkata, tiada lagi LPS baharu dapat ditubuhkan berikutan sekolah berkenaan ditutup.

Menurutnya, bagi memastikan usaha membina sekolah itu diteruskan, beliau mengambil inisiatif mewujudkan sebuah jawatankuasa penubuhan sekolah pada 17 September lepas.

"Jawatankuasa ini tiada sebarang bidang kuasa unsur keuntungan kerana ia hanya untuk membantu menyelesaikan masalah tanah yang masih tertangguh untuk pindah milik hingga hari ini.

"Pada 10 Oktober lalu, satu perjumpaan diadakan di Shah Alam bersama pemilik tanah (syarikat perindustrian) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

"Saya juga menghantar surat kepada Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik pada 12 Disember berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat penyelarasan SJKT Ladang Minyak Serendah turut diadakan bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada 5 Mac lalu di Putrajaya.

Menurutnya, pertemuan lanjut akan diadakan selepas ini melibatkan pihak syarikat perindustrian selaku pemilik tanah.

"Pihak kementerian berpuas hati dan meminta agar pemilik tanah turut hadir.

"Timbalan menteri mahu mendengar sendiri penjelasan dari syarikat perindustrian itu supaya pembinaan sekolah ini dapat disegerakan.

"Sekolah ini adalah keperluan untuk 170 murid yang kini terpaksa bersekolah di Sungai Choh dan Rawang," katanya.