Dua kali lompatan batal, Nor Sarah terlepas pertahan emas

Atlet lompat bergalah wanita negara Nor Sarah Adi mencium pingat perak yang diperolehnya.- Foto: Bernama
Atlet lompat bergalah wanita negara Nor Sarah Adi mencium pingat perak yang diperolehnya.- Foto: Bernama
A
A
A

KEGAGALAN melepasi dua lompatan pada saingan awal membawa padah kepada atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi dalam usahanya mempertahankan emas pada Sukan SEA 2023 di sini pada Rabu.

Biarpun berkongsi catatan 4.05 meter (m) dengan Chonthicha Khabut, namun tuah memihak kepada atlet Thailand itu untuk merampas emas daripadanya pada hari ketiga saingan olahraga di Stadium Nasional Morodok Techo pada Rabu.

Nor Sarah pula gagal melepasi percubaan pertama masing-masing pada ketinggian 3.85m dan 3.90m manakala Chonthicha pula dapat menyempurnakan kesemua lompatannya pada percubaan pertama.

Setiap peserta hanya dibenarkan membuat tiga kali percubaan pada setiap ketinggian dilakukan.

Biarpun tidak berjaya mengekalkan emas dimenanginya, Nor Sarah tidak berasa hampa dengan keputusan tersebut kerana dapat memperbaharui catatan peribadi iaitu 4.00m ketika membuat penampilan pertama pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

"Dua kali lompatan saya batal walaupun catatan sama namun juri dapati lompatan atlet Thailand lebih kemas,” kata Nor Sarah kepada pemberita, di sini.

Lebih menarik, beliau mengakui baru sahaja kembali menjalani latihan semalam dan mula melompat hari ini selepas mengalami kecederaan ligamen di kaki kanan dua minggu lepas.

"Dua minggu saya tinggalkan latihan kerana tumpu pada pemulihan tapi masih berupaya lakar catatan peribadi terbaik. Saya ingat tak boleh lompat kerana ligamen putus namun saya bertanding juga, tak rasa sakit dan saya pun dah balut bahagian yang cedera,” katanya.

Atlet berusia 22 tahun itu pada masa sama tetap berterima kasih kepada Institut Sukan Negara atas bantuan diberikan sehingga beliau dapat beraksi pada temasya sukan dwitahunan kali ini.

Dalam pada itu, jaguh lempar cakera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni tidak berjaya membawa pulang emas selepas merangkul perak dengan catatan 50.73m.

Subenrat Insaeng mempertahankan emas dengan lemparan sejauh 57.69m manakala gangsa diraih Thi Cam Lung De dari Vietnam dengan catatan 45.08m.

Queenie berkata atlet Thailand yang pernah menyertai Sukan Olimpik 2016 dan 2020 itu sememangnya sukar dicabar dan reda dengan rezeki pingat perak dimenanginya hari ini, sekali gus mengulangi pencapaian dilakarnya pada edisi lepas di Hanoi. - Bernama