Lebih cepat, lebih telus

Calon dijangka dapat menjalani ujian memandu dengan lebih pantas selepas sistem e-testing dilaksanakan April nanti. Gambar kecil: E Vennarajan Ellappan
Calon dijangka dapat menjalani ujian memandu dengan lebih pantas selepas sistem e-testing dilaksanakan April nanti. Gambar kecil: E Vennarajan Ellappan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha institut memandu menyambut baik pelaksanaan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau e-testing mulai April ini.

Pengarah Manducekap Hi-Tec Sdn Bhd, E Vennarajan Ellappan berkata, sistem itu dapat menjamin ketelusan dalam ujian memandu terutama di litar.

“Ia membolehkan calon-calon diuji secara tulen dan telus membabitkan segala elemen ujian di litar.

“Sistem ini amat bagus dan kami sangat mengalu-alukan pelaksanaannya secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim memaklumkan pihaknya akan melaksanakan sistem e-testing di seluruh negara mulai April ini bertujuan meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem ujian lesen memandu yang diadakan secara elektronik.

Mengulas lanjut, Vennarajan berkata, menerusi sistem itu juga, ia dapat mengelakkan masalah kelewatan calon menunggu giliran untuk menduduki ujian.“Sekarang berlaku masalah kelewatan giliran calon melakukan ujian berikutan tidak cukup tenaga penguji, tetapi dengan cara ujian baharu ini kita dapat melakukannya dengan lebih kerap.

“Calon tidak lagi perlu menunggu terlalu lama terutama untuk melakukan ujian ulangan ataupun ujian di litar. Jadi saya rasa ini perkara yang bagus,” katanya.Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya telah bersedia melaksanakan e-testing, malah sudah berbincang dengan vendor terbabit yang akan melawat ke institut Manducekap.

“Mungkin selepas Tahun Baharu Cina mereka akan datang melawat kawasan kami. Selepas itu kami akan melaksanakan sistem ini secepat mungkin. Kalau bukan Mei ini, mungkin Jun depan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Vennarajan mengakui pihaknya mungkin berdepan sedikit kekangan pada peringkat awal pelaksanaan sistem e-testing tersebut, terutama dari segi sokongan teknikal dan juga ujian.

“Kekangan itu mungkin akan berlaku pada peringkat awal, tetapi selepas itu kita boleh cuba melakukan penambahbaikan dari masa ke masa,” kata Vennarajan.