X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

90 koperasi mohon pelaburan bernilai RM1.434 bilion tahun lepas

Noh (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Anggota Lembaga Koperasi Perkhidmatan Setia Berhad, Ahmad Murtza Salleh (depan, kiri) dan Pengerusi Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad Mohd Najib Mohd Nor (depan, kanan) di sebuah hotel pada Isnin. - fotoBERNAMA
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 90 koperasi berdaftar telah membuat permohonan pelaburan bernilai RM1.434 bilion kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah Seksyen 54(2) Akta Koperasi 1993 sehingga 31 Disember 2022.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah itu, 35 permohonan bernilai RM260,618 juta diluluskan oleh SKM.

"Aktiviti pelaburan yang telah dibuat oleh pihak koperasi antaranya ialah Subsidiari, Unit Trust, Saham Bursa, Joint Venture dan lain-lain,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek pembinaan 20 Pusat Pengumpulan Sisa Kelapa Sawit di sini pada Isnin.

Noh berkata, 620 buah koperasi telah menjalankan aktiviti pelaburan saham siar dengan jumlah pelaburan sebanyak RM14.31 bilion.

Sementara itu, Noh turut menyarankan pemimpin koperasi di negara ini agar meneroka model perniagaan koperasi baharu berdasarkan senario semasa bagi memastikan perolehan koperasi terus meningkat.

"Elemen kreativiti dan keupayaan untuk mengolah model perniagaan yang baharu perlu digerakkan semaksimum mungkin,” katanya.

Pada majlis berkenaan Noh menyaksikan permeteraian MoU antara Nextgreen Global Berhad, Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation, Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad dan Koperasi Perkhidmatan Setia Berhad.

MoU berkenaan adalah bagi pembekalan sisa kelapa sawit daripada 20 buah pusat pengumpulan berkenaan ke kilang Green Technology Park (GTP), Pekan, Pahang untuk penghasilan kertas, tisu, makanan haiwan ternakan dan baja.

Selain itu pada majlis tersebut Noh turut melancarkan aplikasi MyAngkasaku, usaha sama antara Angkasa dan Nextgreen Global Berhad yang akan memberi manfaat kepada hampir tiga juta ahli Angkasa di seluruh negara dengan penawaran pembelian barangan sekolah secara dalam talian menerusi kredit yang disediakan oleh Koperasi Perkhidmatan Setia Berhad. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!