X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Dua beradik terima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama serentak

Aminuddin (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan buat dua beradik Aqilah Fatinah Rosli, 25 (tiga kanan) dan Athirah Najihah Rosli, 24 (lima kanan).
A
A

SEREMBAN - Tiada yang lebih menggembirakan buat pasangan suami isteri dari Port Dickson apabila dua anak mereka menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di satu pentas yang sama pada Isnin.

Aqilah Fatinah Rosli, 25 dan adiknya Athirah Najihah Rosli, 24, antara 98 penerima anugerah berkenaan di negeri ini yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama setelah menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

Ibu dan bapa mereka, Rosli Ahmad, 59 dan isterinya, Zarina Nusi, 56 berkata, ia merupakan permulaan buat kedua-dua anaknya itu untuk lebih berjaya apabila berada di alam pekerjaan kelak.

"Saya selalu pesan kepada enam anak kami bahawa mereka mesti berusaha keras untuk berjaya dalam hidup termasuklah dalam pendidikan.

Rosli (kanan) dan Zarina (kiri) bersama dua anak mereka yang menerima anugerah kecemerlangan di Seremban pada Isnin.
Rosli (kanan) dan Zarina (kiri) bersama dua anak mereka yang menerima anugerah kecemerlangan di Seremban pada Isnin.

"Jangan cepat mengalah dan kami sentiasa menyokong mereka asalkan ia memberi kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga serta manfaat kepada orang lain seterusnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai penyampaian anugerah berkenaan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, anaknya, Aqilah berkata, ia merupakan hadiah paling manis dalam hidupnya apabila berkongsi detik istimewa menerima anugerah kecemerlangan bersama adik sendiri di satu pentas.

Pelajar jurusan Perakaunan daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Muadzam Shah, Pahang itu berkata kejayaan itu didorong dengan sokongan daripada ibu bapa dan adik-beradik yang sentiasa memberi semangat agar dia kekal fokus bagi menghadapi peperiksaan di peringkat universiti.

"Sasaran saya sememangnya untuk memperoleh keputusan cemerlang sekali gus dapat membahagiakan serta membanggakan ibu bapa. Sudah tentu kejayaan diraih ini perlu dengan usaha yang gigih dengan belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata, majlis kali ini merupakan sesi pertama dalam tahun 2022 manakala yang kedua serta ketiga akan menyusul kemudian.

"Pada hari ini terdapat 98 pelajar cemerlang akan menerima hadiah penghargaan sebanyak RM5,000 seorang berserta sijil. Keseluruhan peruntukan yang dikeluarkan oleh Yayasan Negeri Sembilan pada hari ini bagi pelajar cemerlang adalah sebanyak RM490,000.

"Seramai tujuh penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan yang mendapat pinjaman pendidikan dari Yayasan Negeri Sembilan akan mendapat hapus kira pinjaman pendidikan bernilai RM88,500.

"Saya yakin dengan adanya barisan mahasiswa yang cemerlang ini, masa depan kerajaan negeri dan negara akan ditadbir oleh mereka yang layak dan cemerlang," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!