57 NGO sokong usaha KKM capai Generasi Penamat

Kenyataan bersama 57 NGO yang menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok serta mewujudkan peruntukan berkaitan Generasi Penamat dalam persidangan Parlimen.
Kenyataan bersama 57 NGO yang menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok serta mewujudkan peruntukan berkaitan Generasi Penamat dalam persidangan Parlimen.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan kumpulan profesional perubatan, kesihatan dan pengguna di Malaysia menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok serta mewujudkan peruntukan berkaitan Generasi Penamat dalam persidangan Parlimen.

Gabungan NGO itu dalam satu kenyataan bersama berkata, sebagaimana yang dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, usaha itu bakal diwujudkan bagi merealisasikan hasrat Malaysia untuk membendung masalah merokok.

“Seterusnya mewujudkan generasi baharu yang bebas tabiat merokok termasuk penggunaan vape.

“Pakar-pakar di seluruh dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Konvensi Kerangka Kawalan Tembakau telah mengkaji dan meneliti beban masalah akibat produk tembakau di mana dunia dianggarkan bakal mencapai 'The End Game' ini pada tahun 2030.

“Apa yang dimaksudkan dengan The End Game adalah penurunan peratusan merokok dalam kalangan penduduk sesebuah negara sehingga mencapai kurang daripada lima peratus,” katanya pada Isnin.

Gabungan bersama itu melibatkan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Persatuan Perunding Penyakit Tidak Berjangkit (NCD Consultant Chapter) dan Malaysian Women's Action for Tobacco Control and Health (MyWATCH).

Menurut kenyataan itu, situasi merokok dalam negara masih berdepan keadaan mencabar dengan peratusan merokok hanya turun sedikit daripada 23 peratus kepada 21 peratus semenjak tahun 1986 hingga kini.

Kenyataan itu memaklumkan, kos rawatan penyakit-penyakit akibat tabiat merokok juga telah lama menjadi beban negara terutamanya terhadap sistem kesihatan dan kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Adakah negara kita akan berjaya untuk mencapai The End Game? Sudah pasti tidak jika tiada sesiapa yang memulakan pendekatan berani sebagaimana yang dicadangkan Khairy Jamaludin,” jelasnya.

Katanya, di Malaysia, pelan strategik kebangsaan dalam inisiatif kawalan tembakau, program khas bagi setiap peringkat umur dalam lapisan masyarakat telah pun disusun melalui kerjasama pelbagai agensi ke arah Malaysia bebas rokok.

“Pendidikan awal tentang bahaya asap rokok basi dan keburukan tabiat merokok mensasarkan golongan kanak-kanak pra-sekolah, sekolah rendah dan remaja untuk mewujudkan generasi bebas amalan merokok.

“Dengan sasaran bilangan perokok kurang daripada 15 peratus menjelang tahun 2025 dan kurang daripada lima peratus menjelang tahun 2040,” tambahnya.

Jelasnya, berbanding negara lain, masalah merokok di Malaysia semakin parah dengan lambakan produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik dan vape yang pasti akan menyebabkan Malaysia lambat mencapai The End Game dalam tempoh yang dijangkakan.

“Bilangan penggunanya kini semakin meningkat daripada anggaran 600,000 orang melalui kajian National E-Cigarette Survey (NECS) 2016 kepada lebih 1.1 juta orang seperti yang dilaporkan dalam National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019.

“Oleh itu, cadangan bersifat berani dengan membuat larangan merokok terhadap generasi akan datang dalam akta baharu yang akan dibentangkan ini sangat-sangat disokong dan perlu dipuji,” ujarnya.

Bagaimanapun, gabungan NGO itu berkata, KKM dan agensi berkaitan perlu memastikan agar larangan terhadap generasi akan datang yang bakal dibuat perlu dikuatkuasakan kepada semua jenis produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape.

Jelasnya, larangan pembelian atau pemilikan tersebut sangat kritikal bagi memastikan konsep ‘produk kurang haram atau kurang kemudaratan’ yang sering diuar-wuarkan industri rokok elektronik atau vape tidak diterima kerana tidak dibuktikan secara saintifik.

“Kawalan ketat dan penguatkuasaan tegas perlu dilaksanakan tanpa memberikan keistimewaan kepada mana-mana jenis produk merokok termasuk vape yang terbukti membahayakan kesihatan rakyat Malaysia.

“Oleh itu, kami menyeru kepada semua pemimpin dan ahli Parlimen yang akan bersidang nanti agar bersatu hati dalam menerima dan meluluskan cadangan yang sangat baik ini demi masa hadapan bangsa serta negara," katanya.