85,134 tan sisa banjir dibersihkan di enam negeri

Ismail (kanan) mengendalikan jengkaut ketika membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Baru Lenga pada Ahad. -Foto Bernama
Ismail (kanan) mengendalikan jengkaut ketika membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Baru Lenga pada Ahad. -Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Sebanyak 85,134 tan sisa banjir telah dibersihkan di enam negeri yang terjejas bencana itu, setakat Sabtu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata kerja-kerja pembersihan membabitkan negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Selangor telah mencapai 98 peratus, manakala Johor mencapai tahap 90 peratus.

Beliau berkata, pada Sabtu sahaja, sebanyak 438 tan sisa banjir dibersihkan melibatkan 112 jentera dan 354 pekerja di bawah seliaan SWCorp (SWM Environment Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan E-Idaman).

"Sebanyak 48,589 tan sisa banjir dibersihkan di Selangor; 34,100 tan di Pahang; 1,400 tan di Negeri Sembilan; 630 tan di Kuala Lumpur dan 139 tan di Melaka.

"Di Johor pula, sebanyak 275.63 tan sisa banjir dibersihkan sehingga semalam,” katanya kepada pemberita ketika Operasi Mega Pembersihan Pascabanjir di Johor di Kampung Baru Lenga, dekat sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kementeriannya telah membelanjakan sebanyak RM117.5 juta untuk pelbagai program pemulihan ketika pascabanjir.

Antaranya pemulihan fasiliti awam melibatkan kos sebanyak RM50 juta dan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sebanyak RM50 juta bagi baik pulih rumah rosak dan bina rumah baharu.

Selain itu, beliau berkata, bagi kerja-kerja pembersihan sisa banjir membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan dan RM5 juta lagi adalah untuk Bantuan Bakul Bencana.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kementerian juga akan mengumpul dan mengemas kini data, memandangkan ada beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dan menjangkakan akan menambah jumlah peruntukan untuk program pemulihan pascabanjir ini.

"Proses mengumpul dan mendapatkan data terkini ini juga akan melibatkan pelbagai pihak seperti pejabat daerah, PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya. - Bernama