[VIDEO] Lelaki kekal dilepas dan dibebaskan tuduhan rogol budak umur 4 tahun

A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebas dan melepaskan seorang lelaki daripada tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun pada 2019.

Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu setelah meneliti dan menimbang hujahan kedua-dua belah pihak.

"Saya putuskan rayuan perayu ditolak. Justeru keputusan diberi Mahkamah Seksyen pada 23 Oktober lalu dikekalkan.

"Saya berpuas hati dengan dapatan Mahkamah Sesyen dan tiada alasan mengubah dapatan tersebut," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh Mohd Zairil Mohd Zin, 51, yang bekerja sebagai jurugegas di sebuah syarikat swasta didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Titi, Jelebu pada 21 hingga 22 Mac 2019.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mohd Zairil (tengah) bersama Haresh (kanan) dan Ramzani luah rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi.
Mohd Zairil (tengah) bersama Haresh (kanan) dan Ramzani luah rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah melakukan kesalahan yang bertentangan dengan aturan luar tabii kanak-kanak perempuan berkenaan di rumah, lokasi dan tarikh sama.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Zairil ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa syukur atas keputusan berkenaan sekali gus dapat membersihkan namanya.

Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ala'udin Baharom.

Seramai 14 orang saksi telah memberi keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraan bermula pada April 2019.

Media pada Mac 2019 melaporkan lelaki berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu dengan mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh isterinya.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berkenaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut ketika isterinya tiada di rumah pada 23 April 2019 di Kuala Klawang, Jelebu.

Pada 24 Mac 2019, ibu mangsa membawa anaknya ke klinik dan pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan cabul dan seterusnya membuat laporan polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!