Sila log masuk terlebih dahulu.

Bahasa kukuh, karya ampuh

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KALIAN mahu menjadi penulis tetapi malas membaca. Kalian mahu menjadi penulis tetapi teruk bahasanya.

Kalian mahu menjadi penulis tetapi malas membaca, teruk bahasanya dan banyak alasan pula.

Begitulah nasib seorang penulis yang hanya berangan-angan tetapi tidak tercapai hajatnya. Justeru, untuk menjadi penulis, apakah perkara asas yang perlu ada?

Khususnya seorang penulis kreatif, apakah yang wajar dilaksanakan?

Pertama, bahasa. Kuasailah bahasa Melayu dengan sepenuh jiwa raga. Lantaran untuk menulis sebuah cerpen, bahasa mencerminkan keperibadian penulisnya.

Pembaca akan mengenali cerpen diminatinya menerusi gubahan tatabahasa yang dipotretkan oleh penulisnya.

Sebagai contoh, cerpen oleh Mawar Safei menyerlahkan jati dirinya.

Perhatikan Kumpulan Cerpen Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya (DBP, 2021) hasil garapan Mawar Safei yang kerap menggunakan perkataan ‘narasi’ dalam beberapa buah cerpennya.

Artikel Berkaitan:

Antara tajuk cerpennya ialah Narasi Tongariro dari Penjuru Disember Lalu dan Narasi Cinta Saat Gempa.

Selain itu, beberapa pemilihan kosa kata yang disaring untuk memperihalkan kisahnya dimuatkan dalam cerpennya seperti Infitar di Taman Salju, Antara Dua Rumah di Lereng Bukit, Perempuan Si Pemetik Harpa, Suara dan Cintanya, Surat daripada Umar, Bulan di Gifford Avenue, Bertemu Lagi Perempuan Si Pemetik Harpa, Labuhan Sukma di Kapiti, Bahasa Rindu Mel, Bintang yang Satu di Langit Dini, Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang, Gempa Pulau Perca, Pada Hari Saya Bertemu Miqdad, Amanat Perempuan Pengasih, Saat Guruh di Rumah Coklat, Rinai di Perkebunan, Kupu-kupu Biru di Penjuru Qolbu dan Tangan Umi dan Takwil Mimpi.

Penguasaan Mawar Safei terhadap bahasa Melayu dengan pemilihan kosa kata tertentu bersesuaian dengan latar pengkisahan yang diajukan kepada pembaca memperlihatkan kesungguhan penulisnya mencintai bahasa.

Malah secara jelasnya menunjukkan pengarang memiliki roh ke-pengarangannya yang tersendiri dalam membentuk wilayah lingkungan bahasa yang dipasak dalam jiwa. Maka, keragaman kosa kata dan anyaman bahasa sebegini menyerlahkan ‘bahasa menjulang kukuh’ untuk dimanfaatkan pembaca.

Ia sekali gus menjentik tanggapan rasa dalam nurani khalayak untuk merenung dengan mata hati, bukan sekadar dengan mata lahiri dalam memahami setiap patah perkataan disuakan pengarang dalam karya-karyanya.

Kedua, sastera. Sejauh mana seseorang pengarang menguasai bahasa yang menjadi pakaian peribadinya menterjemahkan dalam bentuk karya kreatif berseni dan sarat estetika. Bagaimana dia memperelok bahasanya dengan anyaman perkakasan sastera seperti tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, konflik serta unsur pengajaran disatukan dalam tatarias ilham mempesona.

Misalnya novel dihasilkan Husna [email protected] Hussein yang kerap memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) saban tahun suatu ketika.

Perhatikan tajuk novelnya Si Penenun Cinta (2019) yang mengungkapkan perihal warisan budaya bangsa iaitu kain songket untuk diajukan kepada khalayak pembaca khususnya remaja.

Malah deretan novelnya yang lain turut membangunkan keperibadian anak muda antaranya Pewaris Samudera (2013), Rona-rona Pasrah (2013), Nyanyian Musim Rusuh (2015), Kudup Hijau Tropika (2015), Rindu Syonan-to (2016) dan S.P.I.D.E.R (2017).

Garapan pengkisahan dalam setiap novelnya dapat membugar semangat khalayak untuk mengharungi pancaroba.

Pemilihan tajuk ‘cinta’ misalnya diterjemahkan bukan terhadap teruna dara bahkan kepada tenunan songket, salah satu warisan budaya bangsa.

Pengarang berusaha mengemukakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan iktibar dalam pergelutan kehidupan dan selirat duga.

Maka, di sinilah peranan sastera yang dapat membangunkan kecintaan anak bangsa terhadap seni budaya bangsa, warisan dan peradaban yang wajar dipertahankan saban masa.

Sementelah, pengarang merupakan seorang pendidik berstatus ‘ustaz’, pasti memiliki kesedaran tinggi dalam mengemukakan perutusan bermanfaat kepada pembaca.

Malah, rata-rata hasil karyanya ditujukan kepada anak muda yang bergelut dengan pelbagai rantaian permasalahan hidup.

Pemeragaan watak utama sebagai teraju anak muda yang tekal dengan nilai-nilai luhur dijadikan pasak utama dalam novel-novelnya.

Hidangan kepelbagaian isu sejagat dapat membuka horizon pemikiran pembaca, sekali gus membangunkan keperibadian mulia.

Maka, hasil karya sastera sebegini menyerlahkan makna ‘sastera menjunjung ampuh’ untuk dijadikan panduan dan pedoman.

Bahasa Menjulang Kukuh, Sastera Menjunjung Ampuh ini sekali gus memperlihatkan daya usaha pengarang menyemarakkan penyatuan antara ‘bahasa’ dan ‘sastera’ dijalin rapi untuk tatapan khalayak pembaca.

Hal itu selaras dengan surah Ibrahim ayat 24-25 sebagaimana terjemahan: “Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana ALLAH telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan ALLAH membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat.”

Jelas ia memperkukuhkan ‘bahasa’ dan ‘sastera’ sebagai tempat yang selayaknya untuk seseorang pengarang dalam menghasilkan karya, sekali gus membugar peradaban bangsa dan negara.

Sejajar saranan Perdana Menteri Malaysia tentang keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Bahasa Melayu dikatakan menduduki tangga ke-10 penggunaannya dan wajar dijulang dengan segenap kudrat yang ada.

Memetik ungkapannya: “Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia.”

Ayuh penulis, pahatkan dalam diri bahawa besar amanah tergalas di pundak dalam menyuguhkan karya terbaik untuk pembaca.

Pilih dan saring bahasa ‘jernih’ untuk diajukan dalam pengkaryaan bagi membentuk kekayaan jiwa.

Pilih dan saring sastera yang ‘indah’ untuk dibentangkan dalam pengkaryaan bagi pengukuhan peribadi mulia.

Bahasa Menjulang Kukuh, Sastera Menjunjung Ampuh mengehendaki pengarang yang memiliki keupayaan luar biasa dengan gemerlap usaha demi khazanah bangsa.

Kata-kata Tenas Effendy dalam buku Ethos Kerja wajar dijadikan sandaran renungan: “Apabila kerja hendak sempurna, sifat terpuji hendaklah jaga”, “Apabila terpuji dalam bekerja, dunia akhirat mendapat pahala”, “Apabila bekerja memegang amanah, diri selamat dipelihara ALLAH”, “Apabila bekerja berhati-hati, manfaat dapat nama terpuji” dan “Apabila bekerja dengan ilmunya, kerja menjadi besar manfaatnya.”

* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia