'Saya kekal bersama Bersatu'

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan pendiriannya untuk terus kekal bersama parti itu, walaupun ada rakannya bertindak menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengakui tidak pasti jumlah rakan dalam Bersatu yang berhasrat menyertai PBM, beliau bagaimanapun melahirkan rasa dukacita dengan tindakan tersebut dan menaruh harapan agar kesemua mereka terus kekal bersama parti.

“Kita harapkan semua mereka tetap menyertai Bersatu, tambahan pula Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sangat memberi ruang kepada teman-teman yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Reflisia Timur Berhad di Dewan Kawasan Rukun Tetangga Cenderawasih Timur di sini pada Sabtu.

Pada 5 Januari lalu, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang juga Presiden PBM memaklumkan parti itu dilahirkan selepas penjenamaan semula Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang ditubuhkan bapanya, Sng Chee Hua pada tahun 2012.

Selain Larry, PBM turut mempunyai seorang lagi wakil di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen dari Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon turut mengumumkan menyertai parti berkenaan.

Dua hari lalu, media melaporkan,dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin Zuraida bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara yang disebut-sebut bakal menyertai PBM.

Ia susulan dua figura politik berkenaan merupakan individu yang rapat dengan pemegang jawatan dalam parti berbilang bangsa yang baharu ditubuhkan itu.

Artikel Berkaitan:

Antaranya ialah Timbalan Presiden 1 PBM, Haniza Mohamed Talha; Ketua Wanita, Daroyah Alwi dan Setiausaha Agung, Nor Hizwan Ahmad.

Mengulas lanjut isu itu, Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, meminta rakan-rakannya agar mengenang budi Muhyiddin yang memberi ruang kepada mereka sebelum ini.

“Jadi, pada saya budi baik Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan layanan yang diberikan pimpinan Bersatu kepada kami yang keluar daripada PKR, kemudian kami menyertai Bersatu dan ini sangat dihargai.

"Jadi agak terkilan kerana sepatutnya mereka bersama Bersatu membalas budi baik Muhyiddin dengan memperkuatkan lagi parti," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat menghalang sekiranya mereka terus dengan hasrat untuk menyertai atau menubuhkan parti baharu dan menyifatkan perkara itu sebagai hak masing-masing.