X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

PTPTN, Yayasan KRU kerjasama perkasa usahawan digital belia B40

Norman (dua dari kiri) diiringi Ahmad Dasuki menyampaikan sijil kepada salah seorang pelatih.
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama bersama Yayasan KRU menerusi program ‘Kita Jaga Kita’ yang menyediakan latihan ‘Social E-Commerce’ bagi memperkasakan ilmu keusahawanan digital untuk golongan belia dari keluarga B40.

Presiden dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, matlamat latihan itu adalah untuk melahirkan 100 usahawan dalam kalangan mahasiswa khususnya daripada keluarga B40 di Malaysia sepanjang tahun 2022.

“Kami telah melancarkan program ‘Kita Jaga Kita’ pada 1 Jun tahun lalu. Pihak Yayasan berterima kasih kepada PTPTN kerana membantu kumpulan pertama seramai 20 orang belia warganegara menyertai program ini.

“Ia sekali gus melayakkan mereka mendapatkan pensijilan profesional bertaraf antarabangsa.

“Yayasan KRU berharap mereka bukan saja menjadi usahawan yang berjaya tetapi juga menjadi pencipta pekerjaan dengan menyediakan peluang pekerjaan bagi belia warga Malaysia yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, sijil tamat latihan dan akreditasi daripada badan profesional Adobe Certified Professional - Premiere Pro telah disampaikan kepada 20 pelatih yang menyertai program yang dijalankan selama sebulan secara hibrid merangkumi modul berkaitan keusahawanan digital dan penerbitan kandungan kreatif.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Naib Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Muhammad Razlan Ismail, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan pegawai-pegawai PTPTN.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, kerjasama strategik tersebut diharapkan dapat membantu belia peminjam PTPTN dari keluarga B40 untuk menceburi bidang keusahawanan dalam meningkatkan ekonomi keluarga.

Jelasnya, sebagai agensi yang cakna dan prihatin, mereka sentiasa menyantuni dan menyelami isu-isu masyarakat bagi membantu golongan memerlukan terutama di kala pandemik Covid-19 ini.

“Semoga dengan inisiatif ini dapat meningkatkan imej positif PTPTN dalam masyarakat dan merapatkan hubungan antara agensi ini dengan golongan belia terutama peminjam PTPTN,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut berkaitan pendaftaran sebagai sukarelawan, rakan strategik dan permohonan program latihan, boleh layari laman sesawang www.yayasankru.org


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!