Puvet ATM perkasa usahawan veteran tentera

Adly dalam sesi perkongsian maklumat dengan veteran ATM.
Adly dalam sesi perkongsian maklumat dengan veteran ATM.
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Pertahanan melancarkan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (Puvet) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha memartabatkan kerjaya kedua veteran tentera khususnya dalam bidang keusahawanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program berkenaan dilaksanakan melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang berperanan sebagai pemudah cara dan penghubung untuk mengenal pasti insentif keusahawanan yang diperlukan oleh usahawan veteran ATM bagi memajukan perniagaan mereka

"Kementerian Pertahanan telah mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Kolaborasi rentas kementerian ini bagi memastikan inisiatif Puvet ATM dapat dinikmati secara holistik dan inklusif oleh kumpulan sasar iaitu veteran," katanya selepas Majlis Pelancaran Puvet ATM di Kampung Baru Si Rusa di sini pada Khamis.

Menurutnya, di Negeri Sembilan, Perhebat sedang memantau 1,201 veteran yang tamat Latihan Peralihan dari tahun 2018 sehingga 2022.

Ujarnya, daripada 600 orang yang berjaya dihubungi, seramai 253 veteran terlibat dalam perniagaan, 162 veteran bekerja bermajikan dan 185 veteran masih belum mempunyai kerjaya kedua atas pelbagai faktor.

Sementara itu, pada program berkenaan Adly turut berpeluang mengadakan perkongsian maklumat bersama 150 Veteran ATM yang terlibat dalam bidang keusahawanan di Negeri Sembilan.

Adly (kanan) beramah mesra dengan veteran ATM.
Adly (kanan) beramah mesra dengan veteran ATM.

Seramai lima usahawan veteran ATM telah terpilih untuk menerima padanan geran bernilai RM5,000 di bawah inisiatif Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sebanyak 500 bakul Rahmah turut disampaikan kepada 19 Persatuan-Persatuan Veteran ATM Cawangan Negeri Sembilan untuk diagihkan kepada golongan veteran.

Dalam pada itu Adly turut memaklumkan yang Puvet ATM akan menjelajah ke seluruh negara bagi mengenal pasti dan memadankan bentuk bantuan dan bimbingan keusahawanan yang diperlukan oleh veteran.

"Puvet ATM turut berperanan memberi motivasi kepada usahawan veteran ATM termasuklah dialog dan ceramah bersama ikon dunia perniagaan dan jaringan pemadanan bersama pelbagai agensi kerajaan dan swasta," katanya.