Bantuan Selangor Bangkit: RM33.25 juta diagih sehingga Jumaat

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 33,130 keluarga menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM1,000 dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM33.25 juta sehingga Jumaat.

Perkembangan tersebut dikongsi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu ciapan di Twitter miliknya selain turut memuat naik infografik nilai bantuan BSB diagihkan di setiap daerah.

"Setakat 14 Januari 2022, sebanyak 33,130 keluarga telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) melibatkan peruntukan RM33.25 juta," ciapnya pada Jumaat.

Bantuan kewangan di bawah kelolaan kerajaan Selangor itu merangkumi semua mangsa banjir di negeri Selangor sama ada yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak.

Menerusi infografik rumusan agihan BSB kepada mangsa banjir pula menunjukkan sebanyak sembilan daerah sudah menerima bantuan terbabit secara berperingkat.

Sebanyak RM11.236 juta diperuntukkan di daerah Petaling membabitkan bilangan penerima berjumlah 11,236 keluarga.

Diikuti daerah Klang dengan peruntukan sebanyak RM7.436 juta membabitkan seramai 7,376 penerima termasuk enam ahli keluarga terkorban akibat banjir.

Sebanyak RM6.477 juta diperuntukkan di daerah Hulu Langat dengan seramai 6,457 penerima termasuk dua ahli keluarga yang meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Di daerah Sepang pula, sebanyak 3.63 juta diperuntukkan melibatkan seramai 3,600 penerima dan tiga ahli keluarga yang meninggal dunia.

Selain itu, peruntukan di Kuala Selangor pula membabitkan sebanyak RM1.693 juta dengan seramai 1,693 penerima dan di Gombak sebanyak RM750,000 diperuntukkan membabitkan seramai 750 mangsa.

Dua lagi daerah iaitu Hulu Selangor membabitkan 93 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM93,000 dan RM35,000 diperuntukkan di daerah Sabak Bernam dengan seramai 35 penerima.

Sementara bagi daerah Kuala Langat pula membabitkan 1,890 penerima termasuk seorang ahli keluarga yang meninggal dunia dengan membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.9 juta.