X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Jemaah umrah tertekan 'dikurung' di hotel, dibebani kos kuarantin

Tingkap dalam hotel berkenaan dikunci oleh pihak hotel membuatkan penginap rasa tertekan dan terkurung. (Gambar kecil: Jawaher, Abdullah Tahir)
A
A

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri yang baru pulang dari menunaikan ibadah umrah pada 6 Januari lalu tertekan dengan kos penginapan di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang mahal.

Malah, Abdullah Tahir Salleh, 68, turut mendakwa mereka seolah-olah dikurung di premis berkenaan tanpa kesudahan.

Abdullah Tahir disahkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu selepas pulang dari Makkah dan kini sedang menjalani tempoh kuarantin di hotel tersebut.

Dia yang merupakan bekas Anggota Sidang Pengarang Utusan Malaysia pernah dimaklumkan akan dipindahkan ke Pusat Rawatan dan Kuaratin Covid-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang atau Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini dia masih di hotel tersebut disebabkan doktor yang menjaganya memaklumkan bahawa PKRC tersebut sudah penuh.

Lebih membimbangkan, katanya, doktor tersebut memberitahu bahawa dia akan dibawa PKRC hanya apabila keadaan kesihatannya bertambah buruk.

“Sehingga kini, tiada orang yang datang menjenguk saya di bilik kuarantin. Malah saya tidak dibekalkan dengan sebarang ubat-ubatan walaupun saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Doktor memaklumkan akan menunggu saya sehingga jatuh sakit, barulah akan membawa saya ke hospital untuk rawatan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan begitu. Kalau macam ini, saya akan mati di sini kerana perlu menunggu hingga sampai ke tahap kritikal,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Abdullah Tahir perlu membayar sebanyak RM500 sehari untuk penginapan hotel berkenaan bersama isterinya dan sehingga kini sebanyak RM3,200 telah dibelanjakan.

Namun, disebabkan keadaannya, tempoh kuarantin di hotel berkenaan dilanjutkan tanpa dimaklumkan mengenai tarikh akhir keluar daripada premis berkenaan.

“Saya ada isteri, jadi perlu bayar RM500 sehari. Bayangkanlah sehingga bila perlu bayar. Sekarang ini saya sudah tiada duit. Sepatutnya tempoh kuarantin tamat pada Khamis, tapi mereka tahan saya sampai tidak tahu bila.

“Kita gesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengambil tindakan segera. Kalau tidak, ramai pesakit akan mati atau mengalami kesusahan nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, isterinya, Jawaher Daud, 63, tidak dijangkiti Covid-19, tapi masih perlu menjalani kuarantin di hotel berkenaan walaupun tempoh kuarantinnya tamat pada Rabu.

Malah, dia bimbang dengan keadaan suaminya yang tidak terurus dan tertekan serta sering menghubunginya setiap 30 minit kerana tiada doktor memeriksa keadaannya di bilik.

“Keadaan bilik suami saya tidak selesa. Kain cadar dan tuala tidak ditukar, malah air minuman perlu dibeli sendiri. Cuba bayangkan, saya rasa orang yang negatif pun boleh jadi positif Covid-19. Sudahlah tingkap tidak boleh dibuka.

‘Kami macam duduk dalam penjara, sesak nafas. Suami kata boleh mati kalau macam ini. Dia mempersoalkan doktor yang menjaga jemaah di sini sebab tidak dihantar ke PKRC di MAEPS.

“Doktor tersebut berkata dia telah menghantar nama (suami) kepada pihak berkenaan, tapi dimaklumkan tempat tersebut penuh,” katanya.

Mengulas lanjut, Jawaher berasa tertekan dengan keadaan sekarang dan mahu keluar dari hotel tersebut kerana sudah tidak mampu membayar kos kuarantin.

"Saya tak tahu nak cerita macam mana, rasa takut pun ada sebab tinggal seorang diri.

“Minta sangat Khairy Jamaluddin, dengarlah rintihan kami ini. Kami bukan nak balik rumah, tapi nak keluar dari sini kerana sudah tidak mampu bayar (kos penginapan),” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!