Sasar nilai eksport koko RM14 bilion

Zuraida melancarkan iklan video komersial dan promosi koko, dekat sini pada Khamis.
Zuraida melancarkan iklan video komersial dan promosi koko, dekat sini pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan nilai eksport koko RM14 bilion bagi tahun 2022.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tahun lalu negara merekodkan nilai ekspot hampir RM7 bilion, meningkat 10 peratus berbanding tahun sebelumnya, 2020.

"Jadi tahun ini kita sasarkan dua kali ganda daripada tahun lepas," katanya.

Menurutnya, perkembangan itu disokong oleh potensi pasaran besar untuk komoditi itu di peringkat antarabangsa.

"Salah satu cara adalah kita tarik pelabur-pelabur untuk mempelopori industri koko di negara ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kewujudan Hub Perdagangan Koko di Tanjung Pelepas, Johor menyumbang kepada perkembangan tersebut.

"Hab ini memudahkan pergerakan import dan eksport kerana terdapat kilang yang boleh memproses biji koko untuk dikisar sebelum dieksport.

"Satu lagi hab koko akan dibuka di Tanjung Bin, Johor," katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran video komersial dan promosi koko, dekat sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Zuraida berkata, kementerian akan mempergiatkan aktiviti bagi meningkatkan penggunaan koko dalam kalangan pengguna tempatan.

"Kadar penggunaan koko domestik masih banyak dipengaruhi oleh faktor seperti tabiat pemakanan harian, pengetahuan dan tanggapan serta harga produk koko terutamanya coklat," katanya.

Ujarnya, produk koko sering disalah anggap oleh pengguna melalui penyebaran fakta dan maklumat tidak tepat.

"Produk berasaskan koko seperti coklat ini sebenarnya tidak menggemukkan malah mampu melambatkan proses penuaan jika diambil dengan kuantiti yang betul," katanya.

Iklan video komersial dan promosi koko dilaksana menggunakan konsep animasi bagi menyebarluaskan maklumat mengenai khasiat, kebaikan dan kegunaan koko.

Penerbitan iklan video tersebut adalah hasil kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan syarikat Monsta Agency dan Distribution dengan memperkenalkan watak Profesor Koko berserta slogan promosi terkini iaitu enak dan berkhasiat serta menikmati koko setiap hari.