Empat jam kumpul 1.32 tan barangan terpakai untuk mangsa banjir

Wakil SWCorp Kedah, MBAS, NGO Gerak dan E-Idaman menjayakan pasar percuma secara pandu lalu di Alor Setar pada Khamis.
Wakil SWCorp Kedah, MBAS, NGO Gerak dan E-Idaman menjayakan pasar percuma secara pandu lalu di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah menyumbangkan 1,322 kilogram (kg) barangan terpakai untuk mangsa banjir yang terkesan di beberapa negeri baru-baru ini.

Pengarah SWCorp Kedah, Nordin Amat berkata, barangan tersebut dikumpulkan hanya dalam tempoh empat jam menerusi program pasar percuma secara pandu lalu yang diadakan di pusat bandar raya ini.

Beliau berkata, program itu dapat mendidik masyarakat setempat untuk menghargai barangan terpakai yang masih elok dan sesuai digunakan dengan menyumbangkan kepada insan memerlukan seperti mangsa banjir.

“Program pasar percuma ini mendapat sambutan sangat baik berdasarkan jumlah kutipan barangan terpakai sebanyak 1,322 kg. Barangan terpakai yang paling banyak diterima adalah kategori pakaian.

“Program secara pandu lalu amat berkesan dan memudahkan orang ramai menghantar barangan terpakai tanpa perlu meletakkan kenderaan terlebih dahulu atau mengangkat barang yang dibawa,” katanya ketika meninjau pasar percuma pandu lalu di pekarangan bangunan Amanah Reit di sini pada Khamis.

Nordin berkata, program kerjasama antara SWCorp Kedah dengan E-Idaman Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerak itu secara tidak langsung membudayakan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam kalangan masyarakat untuk mengitar semula barangan terpakai untuk digunakan semula selaras dengan konsep ekonomi kitaran.

“Semua barangan terpakai ini dihantar ke tempat penyimpanan sementara di bawah seliaan E-Idaman dan dihantar semula secara berperingkat setiap Khamis kepada NGO Gerak untuk pengasingan dan pemilihan pakaian yang masih elok untuk didermakan,” jelas beliau.

Menurutnya, pihaknya telah melaksanakan program pasar percuma secara meluas bermula Jun 2017 sempena Ramadan dan berterusan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

“Program ini turut mendapat sokongan kerajaan negeri serta kerjasama pelbagai pihak. Sejak tahun 2017 hingga kini, SWCorp Kedah melaksanakan 157 program pasar percuma di bawah Dasar Kebersihan Negara melibatkan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, swasta, komuniti dan NGO.

“Kita berharap pelbagai pihak akan terus bersama membantu kerajaan dalam memastikan pembudayaan amalan 3R dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Tambah beliau, program berkenaan akan dilaksanakan di tujuh pejabat cawangan SWCorp Kedah iaitu di Kubang Pasu, Alor Setar, Sungai Petani, Pendang/Yan, Kulim, Sik/Baling dan Langkawi pada tahun ini.