Ibu tunggal jual barangan terbuang sara anak-anak

Zinorlaili sentiasa memastikan keadaan barangan yang hendak dijual sentiasa dalam keadaan baik.
Zinorlaili sentiasa memastikan keadaan barangan yang hendak dijual sentiasa dalam keadaan baik.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal gigih menyara keluarga dengan menjual barangan terbuang seperti kotak, tin dan botol bagi menampung perbelanjaan enam anak dan seorang ibu yang sudah uzur.

Zinorlaili Mat Ail, 46, yang tinggal di Jalan Masjid Baung Bayam berkata, dia berpisah dengan suami sejak 11 tahun lalu dan mula berniaga barangan terbuang untuk menampung perbelanjaan hariannya.

Pada mulanya dia menggunakan basikal untuk mencari kotak, tin serta botol minuman, namun kecekalannya itu mendapat perhatian penghulu kampung yang mendapatkan sumbangan sebuah motosikal roda tiga untuk memudahkan pergerakan ibu tunggal berkenaan.

Bagaimanapun, selepas lebih tujuh tahun, motosikal berkenaan kini perlu dibaiki disebabkan sering rosak kerana digunakan melebihi kemampuan serta kapasiti sebenar.

"Alhamdulilah, saya dapat sebuah lagi motosikal daripada Yayasan Raja Shamri (YRS) dan kini bergantung sepenuhnya pada motosikal berkenaan untuk mencari sesuap nasi.

"Lokasi pencarian barangan pun tidak jauh dan saya lakukan sekadar mampu. Saya akan keluar dua kali sehari untuk mendapatkan barangan iaitu jam 8 pagi dan pulang jam 10 pagi. Petang pula bermula jam 5 petang dan pulang 7 malam setiap hari," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Motosikal pemberian YRS menjadi pengangkutan utama Zinorlaili untuk keluar bekerja setiap hari.
Motosikal pemberian YRS menjadi pengangkutan utama Zinorlaili untuk keluar bekerja setiap hari.

Zinorlaili berkata, setiap barangan yang dikutip akan dijual di sebuah kilang kitar semula di Kota Bharu dan dia hanya memperoleh RM35 sehari berdasarkan jumlah kutipan hariannya.

Menurutnya, walaupun pekerjaan itu tidaklah glamor seperti kerja-kerja lain, namun dia tidak pernah malu untuk melaksanakannya sebaik mungkin bagi menyara keluarga dan mendapat rezeki halal.

"Biasanya mereka akan menghubungi saya bagi memudahkan pergerakan. Tapi saya tidak boleh keluar bekerja jika hujan, nanti kotak akan basah dan rosak, tidak boleh dijual.

"Saya gigihkan diri bekerja kerana masih ada anak-anak yang bersekolah. Anak sulung berusia 24 tahun hanya bekerja kampung. Anak kedua pula sedang belajar dan buat kerja sampingan jika ada masa terluang dan yang bongsu berusia 12 tahun. Semuanya masih terlalu muda untuk mengambil alih menyara keluarga.

"Saya juga menjaga seorang ibu berusia 76 tahun yang uzur. Apa pun ini satu amanah, bukan mudah tapi saya kuatkan diri memandangkan ini sahaja yang saya boleh lakukan," katanya.

Berkat kesungguhannya, dia berjaya mendidik anak-anaknya dengan pendapatan yang tidak seberapa itu sehingga anak keduanya kini menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli untuk program diploma.

Sementara itu, wakil Thirdforce di bawah YRS, Muhd Fakhry Radhi Ahmad Dusuki ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa memantau keperluan semasa Zinorlaili bagi memastikan ibu tunggal itu dapat melaksanakan tugas harian dengan baik.

"Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk hulurkan bantuan jika ada yang ingin membantu sama ada melalui YRS atau secara terus kepada Zinorlaili," katanya.