Serangan harimau: Perhilitan Terengganu pasang dua perangkap

Pada Februari tahun lepas, seekor harimau belang jantan dikenali sebagai 'Awang Rasau' berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3 diikuti seekor lagi harimau belang 'Atan Kerteh' yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lepas namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu yang lepas bebas di sekitar hutan berhampiran. - Foto 123rf
Pada Februari tahun lepas, seekor harimau belang jantan dikenali sebagai 'Awang Rasau' berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3 diikuti seekor lagi harimau belang 'Atan Kerteh' yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lepas namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu yang lepas bebas di sekitar hutan berhampiran. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang dua perangkap untuk menangkap harimau dipercayai berkeliaran di sekitar ladang sawit Kampung Teladas dekat Air Putih di Kemaman, petang Rabu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, ia susulan laporan daripada penternak lembu di kampung tersebut yang mendakwa berlaku serangan mamalia itu sejak Disember tahun lepas hingga menyebabkan kematian haiwan ternakan mereka.

"Satu perjumpaan bersama Perhilitan, penternak haiwan, penduduk kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim telah diadakan tiga hari lepas untuk mengatasi masalah serangan harimau.

"Laporan segera perlu dibuat terus kepada Perhilitan sekiranya terdapat ternakan yang diserang binatang buas supaya jabatan boleh menyiasat jenis serangan berdasarkan tinggalan bangkai dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Sementara itu, Ab Razak berkata, masalah serangan harimau di kampung tersebut dipercayai pernah berlaku beberapa tahun lepas namun tidak dilaporkan secara rasmi kepada Perhilitan.

"Namun, sejak Disember lepas, serangan semakin menjadi-jadi dan banyak ternakan yang (dipercayai) dibaham harimau. Ada penduduk mendakwa ia adalah harimau kumbang dan ada yang mendakwa harimau belang.

"Saya berharap semua penduduk lebih berhati-hati dalam menjaga keselamatan mereka sehinggalah operasi menangkap haiwan tersebut berjaya," katanya.

Serangan harimau terhadap haiwan ternakan sebelum ini sering berlaku di sekitar Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 di daerah Dungun bermula 2019 menyebabkan lebih 60 penternak kerugian ratusan ribu ringgit selepas haiwan ternakan mereka mati.

Artikel Berkaitan:

Pada Februari tahun lepas, seekor harimau belang jantan dikenali sebagai 'Awang Rasau' berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3 diikuti seekor lagi harimau belang 'Atan Kerteh' yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lepas namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu yang lepas bebas di sekitar hutan berhampiran. - Bernama