Bazar Ramadan: Perak jamin tapak niaga cukup

Zainol Fadzi (tengah) menyampaikan watikah pelantikan ahli Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak Bilangan 1 Tahun 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Zainol Fadzi (tengah) menyampaikan watikah pelantikan ahli Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak Bilangan 1 Tahun 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Tapak bazar Ramadan di Perak dijangka mencukupi pada tahun ini biarpun dijangka berlaku pertambahan peniaga yang akan terlibat.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pihaknya akan mengguna pendekatan pada tahun lalu dengan mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan tapak yang mencukupi.

Menurutnya, tahun ini bazar Ramadan akan kembali meriah selepas dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.

"Seperti tahun sudah, kita telah mengarahkan semua PBT agar semua penjaja dapat tapak. Saya rasa konsep itu akan kita bawa tahun ini juga. Isu tapak niaga pada tahun lepas kita dapat selesaikan dengan membuka lokasi lokasi baharu.

"Jadi tidak ada usahawan atau penjaja yang terpinggir untuk dapat tapak. Kalau dia tak dapat meniaga sebagai contoh di Bazar Ramadan Stadium Perak atau Medan Gopeng di Ipoh, kita wujudkan tapak baharu supaya mereka dapat peluang untuk berniaga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak Bilangan 1 Tahun 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Sementara itu, mengenai penjaja di lampu isyarat, Zainol Fadzi berkata, pihaknya menyedari kewujudan peniaga-peniaga tersebut yang melibatkan isu keselamatan dan dalam pengetahuan pihak polis.

Menurutnya, penjaja di lampu isyarat itu bukan dalam kalangan ahli berdaftar dengan mana-mana persatuan penjaja dan peniaga kecil.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun perasan sebenarnya. Hampir setiap lampu trafik ada. Mereka berniaga disebabkan tuntutan hidup, mereka terpaksa berniaga dan tak boleh nak salahkan mereka. Tetapi dari segi keselamatan kita tidak ada kompromi.

"Kalau boleh kita cuba cari alternatif. Cuba cari jalan bagaimana mereka boleh ada tempat meniaga, bukan di simpang jalan yang mengganggu lalu lintas," katanya.

Dalam pada itu, Zainol Fadzi berkata, masalah tenaga kerja yang diperlukan oleh peniaga dan usahawan di negeri juga sedang cuba ditangani kerana beberapa aduan diterima berkaitan isu tersebut.

Menurutnya, kelonggaran untuk mengambil pekerja asing bagi sektor tertentu oleh kerajaan dijangka menjadi antara jalan penyelesaian terhadap masalah tenaga kerja itu.

Jelas beliau, Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) juga menjalankan peranannya untuk membantu usahawan dan peniaga mendapatkan tenaga kerja tempatan yang berminat mengisi kekosongan jawatan disediakan.

Pada mesyuarat itu juga, Zainol Fadzi turut menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 48 orang Ahli Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak.