'Harap PM respons segera'

Cynthia Gabriel
Cynthia Gabriel
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap dapat memberi respons segera tentang cadangan reformasi struktur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel menegaskan, ia kerana keyakinan rakyat terhadap kerajaan ketika ini rendah ekoran kes membabitkan SPRM.

"Dari dahulu lagi kami mengkaji untuk pastikan SPRM betul-betul bebas. Sekarang SPRM di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Jadi dari dulu, ini yang menjadi masalah iaitu pengaruh eksekutif dan politik itu memang kuat dalam pelaksanaan, pemilihan kes, siasatan dan sebagainya," katanya pada Sidang Media Rasuah Busters: 'Solusi Transformasi SPRM' di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

C4 bersama lima lagi rakan gabungan berganding bersama gerakan Rasuah Busters mencadangkan reformasi struktur SPRM dibuat termasuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SBPR) yang diberi mandat oleh perlembagaan untuk mengawasi SPRM yang turut disyorkan ditukar nama kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Cynthia berkata, perubahan struktur itu akan turut memberi tumpuan terhadap punca kewangan SPRM agar ia benar-benar bebas.

"SPRM sekarang dapat bajet mereka daripada bajet nasional dan kesemua ini membawa kepada kebebasan institusi yang sangat penting," ujarnya.

Artikel Berkaitan: