Nuraini, Hanis Nadiah ketuai 'Malaysian Tigress' ke Muscat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEPERTI dijangka, dua pemain senior iaitu tonggak tengah, Nuraini Abdul Rashid dan penyerang, Hanis Nadiah Onn berjaya menempatkan diri dalam senarai 20 pemain bagi saingan Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita 2022 di Muscat, Oman pada 21 hingga 28 Januari ini.

Menurut senarai diumumkan oleh Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim pada Khamis, skuad itu rata-rata dibarisi oleh pemain berusia 23 tahun ke bawah.

Mohd Nasihin menjelaskan bahawa barisan kejurulatihan telah memilih pemain berdasarkan penilaian ke atas usaha yang ditunjukkan dan semangat mereka ketika sesi latihan sejak minggu lepas dan dua aksi persahabatan menentang pasukan lelaki MBPJ baru-baru ini.

“Pemilihan pemain berdasarkan beberapa kriteria dan paling utama adalah tahap kualiti teknikal kemahiran pemain-pemain. Ia sangat penting bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan serta tempo permainan pantas terutamanya di peringkat yang tinggi.

“Pemahaman taktikal pasukan serta mempunyai kemahiran membuat keputusan dalam padang turut diambil kira. Kita juga menilai dan memerhatikan tahap usaha ditunjukkan mereka, selain mempunyai semangat untuk memberikan tentangan ketika perlawanan,” katanya dalam kenyataan.

Sedar bahawa 12 daripada pemain skuad ‘Malaysian Tigress’ itu bakal membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa berdepan cabaran daripada pasukan-pasukan yang beraksi di Sukan Olimpik serta Piala Dunia, Mohd Nasihin tidak mahu meletakkan sasaran besar.

“Secara realistik, dengan keadaan semasa dan kekangan yang kami hadapi, kami sedar di mana tahap pasukan dengan hanya ada lima pemain senior dibawa untuk membantu memperkuatkan pasukan serta membimbing pemain-pemain muda, jika dibandingkan dengan pasukan gergasi Asia lain.

“Kami terpaksa mengambil tindakan berani untuk menyertai kejohanan ini dan berharap kejohanan ini menjadi satu pendedahan terbaik untuk mereka, selain membantu untuk membentuk satu pasukan mantap serta mempunyai kualiti bersaing di peringkat antarabangsa pada masa hadapan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Pada kejohanan itu yang turut menjadi kelayakan Piala Dunia Wanita 2022, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan India, Jepun dan Singapura, manakala Kumpulan B menampilkan naib juara China, Korea, Thailand dan Indonesia.

Malaysia akan membuka kempen menentang India pada 22 Januari, diikuti aksi menentang Singapura pada hari seterusnya dan Jepun pada 24 Januari, dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir. - Bernama

Berikut merupakan senarai pemain:

Penjaga gol: Siti Rozailah Jilon, Siti Zalia Nasir.

Pertahanan: Juliani Mohamad Din, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nurul Faezah Shafiqah Khalim, Iren Hussin, Dayang Nuramirah Abang Mahadini, Nurul Fatin Fatiah Azman.

Tengah: Nuraini Abdul Rashid, Fatin Shafika Mahd Sukri, Nur Syuhada Suhaimi, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun, Nur Insyirah Effarizal.

Penyerang: Nuramirah Shakirah Zulkifli, Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad, Siti Zulaikha Husain, Siti Nur Arfah Mohd Nor, Nur Atira Mohamad Ismail, Nur Afiqah Syahzani Azhar, Hanis Nadiah Onn.