RM31.7 juta sudah disalur kepada mangsa banjir di Selangor

Info grafik rumusan agihan BSB di Selangor setakat Khamis.
Info grafik rumusan agihan BSB di Selangor setakat Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sudah menyalurkan sebanyak RM31.705 juta peruntukan bagi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat Khamis.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 31, 585 keluarga sudah menerima bantuan terbabit.

"Bantuan melibatkan seramai 31,585 keluarga mangsa banjir dengan kos RM31.585 juta dan 12 keluarga mangsa ahli terkorban membabitkan peruntukan sebanyak RM120,000 dengan kos keseluruhan kedua-dua bantuan berjumlah RM31.705," katanya menerusi kenyataan di Twitter beliau pada Khamis.

Menerusi info grafik rumusan agihan BSB kepada mangsa banjir menunjukkan sebanyak sembilan daerah di negeri ini sudah menerima bantuan terbabit secara berperingkat.

Sebanyak RM9.837 juta diperuntukkan di daerah Petaling membabitkan bilangan penerima berjumlah 9,837 keluarga.

Diikuti daerah Klang dengan peruntukan sebanyak RM7.4367 juta membabitkan seramai 7,376 penerima termasuk enam ahli keluarga terkorban akibat banjir.

Sebanyak RM6.477 juta diperuntukkan di daerah Hulu Langat dengan seramai 6,457 penerima termasuk dua ahli keluarga yang meninggal dunia.

Di daerah Sepang pula, sebanyak 3.63 juta diperuntukkan melibatkan seramai 3,600 penerima dan tiga ahli keluarga yang meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, peruntukan di Kuala Selangor pula membabitkan sebanyak RM1.548 juta dengan seramai 1,548 penerima dan di Gombak sebanyak RM750,000 diperuntukkan membabitkan seramai 750 mangsa.

Dua lagi daerah iaitu Hulu Selangor membabitkan 92 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM92,000 dan RM35,000 diperuntukkan di daerah Sabak Bernam dengan seramai 35 penerima.