Lima suspek samun rumah anggota ATM diberkas

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seramai lima lelaki disyaki terlibat dalam kes samun rumah seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Persiaran Pandan 3, Pandan Jaya di sini pada 28 November lalu, berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 39 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Lembah Klang pada Rabu.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Proton Satria yang disyaki digunakan semasa kejadian, sebuah telefon bimbit dan sebuah jam tangan dipercayai milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah.

"Ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian pada 28 November lalu, mangsa mendakwa seramai tiga lelaki datang ke rumahnya.

"Ketiga-tiga lelaki tersebut bertindak menarik dan memukul badan serta kepala mangsa selepas pintu utama dibuka.

"Suspek turut merampas telefon bimbit dan jam tangan mangsa sebelum melarikan diri. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit bahagian kepala dan badan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.