Sindiket judi berselindung di premis dalam kompleks beli-belah

Antara suspek yang diberkas dalam serbuan berkenaan.
Antara suspek yang diberkas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

KLANG - Berselindung di sebalik pejabat antara taktik digunakan sindiket judi dalam talian yang ditumpaskan menerusi serbuan di dua buah premis yang terletak di dalam sebuah kompleks beli-belah di sini pada Rabu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Operasi Khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pegawai D7 negeri, Asisten Superintendan Zulaimi Zuber berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang itu berjaya memberkas sembilan individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

"Sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita itu berumur 20 hingga 40 dipercayai bekerja sebagai operator judi.

"Selain itu, sebanyak 26 telefon bimbit, 15 komputer riba, wang tunai berjumlah RM100,000 serta pelbagai barangan dan peralatan lain turut dirampas dalam serbuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket judi dalam talian tersebut didalangi warga tempatan.

"Dua premis yang diserbu ini disewa bagi mempromosi dan menguruskan transaksi kegiatan haram tersebut.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan termasuk komputer yang dirampas menerusi serbuan di dalam sebuah kompleks beli belah di Klang pada Rabu.
Antara barangan termasuk komputer yang dirampas menerusi serbuan di dalam sebuah kompleks beli belah di Klang pada Rabu.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati dua premis berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan lif pejabat itu hanya boleh dinaiki individu yang mempunyai kad akses," ujarnya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan sebuah laman web untuk menganjur, mengurus dan mempromosikan pelbagai jenis judi dalam talian.

"Semua transaksi dibuat secara dalam talian. Beberapa akaun dipercayai mangsa 'keldai akaun' digunakan sindiket yang menyasarkan pelanggan.

"Siasatan turut mendapati sindiket berkenaan memperoleh kutipan antara RM100,000 dan RM500,000 sebulan," jelasnya.

Tambah beliau, polis turut mengesan seorang individu dipercayai ketua sindiket berkenaan.

"Individu dikenali sebagai Chong dipercayai antara dalang utama sindiket ini sedang diburu. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a),(c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.