X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

[VIDEO] 'Sidang khas Parlimen perlu disegerakan, siasat kes Azam Baki'

Guan Eng (kiri), Anwar, Mohamad Sabu
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menuntut satu sidang khas Parlimen diadakan segera bagi membincangkan isu pemilikan jutaan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, kenyataan media enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang telah menjauhkan diri daripada kenyataan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar yang cuba membersihkan nama Azam membuka mata seluruh negara terhadap kepincangan yang berlaku dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

“SPRM atau badan penasihatnya tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan.

“Kenyataan enam ahli LPPR ini menjadi bukti paling kukuh Pengerusi LPPR sudah tidak diyakini ahlinya. Oleh itu, Abu Zahar perlu direhatkan sehingga selesai siasatan penuh terhadap Ketua Pesuruhjaya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Majlis Presiden PH menambah, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tan Sri Borhan Dolah juga perlu direhatkan sehingga siasatan yang sama selesai kerana enggan bertindak menyiasat Azam.

“Sungguhpun Azam berkemungkinan melakukan kesalahan undang-undang dengan membenarkan akaun saham digunakan oleh adiknya secara proksi berkaitan perdagangan berjuta-juta saham dan waran.

“Perlu ada pimpinan baharu yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM agar kewibawaan, integriti dan kredibiliti SPRM dapat dipulihkan semula,” ujar kenyataan berkenaan.

Majlis Presiden PH itu turut memandang serius kenyataan tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Ketua Pesuruhjaya serta membuat tuduhan motif dendam politik.

Kata mereka, tindakan janggal itu secara terburu-terburu menyokong ‘bos’ mereka dengan kenyataan terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dalam parti politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.

“Jika begitu, suatu siasatan yang dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) ketika sedang menyiasat perdagangan saham secara proksi oleh Azam di mana ramai telah pun dihukum sebelum ini, boleh juga disifatkan sebagai tekanan untuk motif dendam politik.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya.

“Oleh itu, pegawai kanan ini perlu membuat laporan polis dan membiarkan siasatan secara terbuka kerana SPRM tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional sebaliknya ‘membersihkan’ nama beliau,” jelas mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!