Kerajaan Perak kutuk serangan

Ciapan Ahmad Faizal yang mengutuk serangan tersebut.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengutuk insiden tembakan oleh pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan ringkas di Twitter turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya insiden tembakan rambang pengganas di dua buah masjid Christchurch, New Zealand.

"Saya mendoakan semoga roh mereka yang syahid dicucuri rahmat olehNya dan takziah kepada keluarga mangsa," katanya menerusi satu ciapan di Twitter hari ini.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam ciapan di Twitter turut mengambil pendirian sama mengutuk serangan tersebut.

Katanya, tindakan undang-undang wajib diambil ke atas pelaku dan semua pihak dinasihatkan supaya bertenang dan bersatu membela keharmonian agama.

"Segala bentuk keganasan, politik perkauman serta fahaman ekstrem mana-mana kepercayaan agama adalah wajib dilarang oleh undang-undang dan pihak berkuasa."Saya mengecam perbuatan keganasan di Masjid Al-Noor, New Zealand yang tidak berperikemanusiaan ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Angka korban Christchurch meningkat 49 orang

Terdahulu, sekitar jam 1.40 petang (waktu tempatan) hari ini bandar Christchurh digemparkan dengan insiden tembakan oleh penyerang yang menyasarkan dua buah masjid dipenuhi jemaah yang menunaikan solat Jumaat.

Angka kematian insiden tembakan di dua buah masjid di Christchurch hari ini meningkat kepada 49 orang, lapor pihak polis.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia