Sila log masuk terlebih dahulu.

PRN Johor mungkin picu kepada PRU15 tahun ini

Isham (kanan) ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih Eratkan Silaturahim Veteran UMNO Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru pada Rabu.
Isham (kanan) ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih Eratkan Silaturahim Veteran UMNO Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diyakini boleh menjadi picu kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dipercayai akan turut dilaksanakan tahun ini.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil berkata, perkara itu melihat kepada asas melaksanakan PRN sendiri yang mana tuntutan kepada kestabilan politik adalah perkara utama.

Justeru, katanya, sekiranya Johor menjadi salah satu lagi negeri melaksanakan PRN atas dasar berkenaan mengapa pula negara perlu menangguhkan lagi perkara seperti ini.

“Terdapat kepentingan untuk melaksanakan PRU dengan segera bukan kerana BN mahu sangat berkuasa, tetapi kestabilan politik itu sendiri yang boleh memberi impak dalam pelbagai sudut.

“Kita sudah lihat beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), kemudian PRN di Melaka dan Sarawak. Jika benar selepas ini Johor, adakah kita perlu menunggu ada lagi PRN lain. Di peringkat pusat sekarang juga bukan mempunyai majoriti besar dan kestabilan itu masih belum dijamin.

"Kerajaan yang menerima mandat daripada rakyat akan lebih stabil sekali gus mampu membawa masuk pelaburan asing yang akan turut membawa masuk pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Tautan Kasih Eratkan Silaturahim Veteran UMNO Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, khabar angin mulai tersebar luas mendakwa PRN Johor akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bagaimanapun tidak menyatakan sebarang pendirian khusus ketika ditanya sama ada khabar angin berhubung PRN itu benar atau sebaliknya.

Katanya, meskipun tidak selesa dengan keadaan terkini Dewan Undangan Negeri (DUN) yang hanya mempunyai kelebihan satu kerusi, tiada sebarang isu yang berbangkit melibatkan kedua-dua pihak.

Mengulas lanjut Isham berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) Johor mempunyai peluang besar dalam PRN jika ia dilaksanakan dengan jumlah kemenangan majoriti sekurang-kurangnya 32 ke 42 kerusi DUN.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan politik di Selangor, beliau yang juga Penasihat Komunikasi BN ketika PRN Melaka berkata, parti masih mempunyai peluang sekiranya polemik politik negara kekal berlarutan seperti ini.

Katanya, BN Selangor mempunyai keupayaan dan kaedahnya yang tersendiri untuk menawan semula negeri berkenaan dalam PRU akan datang selepas ia dipegang Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal.

“Pelaksanaan Undi 18 akan menyaksikan pertambahan bilangan pengundi yang signifikan di Selangor, dengan sekitar 500,000 daripadanya pengundi muda. Jika kita lihat trend semasa, kita mempunyai peluang.

"BN ada peluang kerana orang muda dan pengundi baharu tidak suka golongan lompat parti iaitu Perikatan Nasional (PN) dan juga penipu manifesto iaitu PH,” katanya.

Beliau berkata, golongan berkenaan juga lebih peka dan sensitif dengan pelbagai isu semasa melibatkan kos sara hidup, harga kediaman tinggi, kekurangan peluang pekerjaan serta isu berbangkit seperti masalah air dan banjir.