MKT UMNO tidak bincang PRN Johor

Datuk Seri Ahmad Maslan
Datuk Seri Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Agenda Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Perkara itu disahkan beberapa pemimpin UMNO ketika ditemui sebaik selesai mesyuarat di Menara Dato Onn di sini pada malam Rabu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perbincangan tidak memberi fokus kepada PRN, sebaliknya ke arah untuk memperkukuhkan parti di negeri itu.

"Bukan soal PRN, mungkin penjelasan sedikit sahaja cuma kita minta UMNO Johor buat kerja," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut tidak menyatakan isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

Ia berdasarkan kenyataan yang diedarkan kepada media sebaik selesai mesyuarat tersebut.

Isu PRN Johor timbul susulan kenyataan Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad yang dilaporkan berkata pihaknya sedang memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN negeri itu.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut sebelum ini turut menjelaskan setakat ini, sokongan daripada rakan-rakan gabungan dalam kerajaan negeri juga tidak berbangkit.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Johor mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di DUN susulan kematian ADUN Kempas Datuk Seri Osman Sapian pada 21 Disember tahun lalu.

Kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi iaitu BN 16 kerusi; Bersatu (11); dan PAS (satu); manakala PH pula 27 kerusi.