Baru keluar penjara, tiga lelaki ditahan pecah rumah

Tiga lelaki yang baru selesai menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) diberkas semula kerana dipercayai terlibat kegiatan pecah rumah.
Tiga lelaki yang baru selesai menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) diberkas semula kerana dipercayai terlibat kegiatan pecah rumah.
A
A
A

PETALING JAYA - Tiada istilah serik. Itulah antara kesimpulan yang menggambarkan tindakan tiga lelaki warga tempatan yang baru selesai menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) diberkas semula kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan selesai menjalani hukuman berkenaan pada Julai 2021.

"Ketiga-tiga suspek berumur antara 39 hingga 58 tahun itu sebelum ini dikenakan hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Mereka dikenal pasti mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, tangkapan ke atas ketiga-ketiga suspek dijalankan setelah pihaknya menerima laporan berkaitan kes sebuah rumah dipecah masuk pada Sabtu.

"Mangsa yang tiba di rumahnya kira-kira jam 11 malam mendapati rumahnya berselerak selain pelbagai barangan berharga telah hilang.

"Antaranya termasuklah barangan kemas, elektronik, peralatan elektrik, wang tunai dan pelbagai barangan peribadi dengan anggaran kerugian adalah sekitar RM50,000," katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati kumpulan itu menyasarkan barangan kemas dan kenderaan mewah.

Artikel Berkaitan:

"Barang kemas hasil pecah rumah tersebut kemudiannya dijual di kedai pajak gadai di sekitar Rawang dan Setapak.

"Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di sekitar Petaling Jaya, Serdang dan Ampang," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek direman 10 hari untuk siasatan lanjut," ujar beliau.