WUI sumbang 230 al-Quran kepada pelajar SMK Seksyen 19

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Imamshah Natharasah (tiga dari kiri) ketika menerima sumbangan set naskah al-Quran di surau SMK Seksyen 19 sambil disaksikan oleh Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang (tiga dari kanan) pada Rabu.
Penolong Kanan Pendidikan Khas, Imamshah Natharasah (tiga dari kiri) ketika menerima sumbangan set naskah al-Quran di surau SMK Seksyen 19 sambil disaksikan oleh Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang (tiga dari kanan) pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) menerusi program Cuci, Pulih dan Iqra 2.0 menyumbang sebanyak 230 naskah al-Quran kepada pelajar SMK Seksyen 19, Shah Alam di sini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Menerusi program tersebut, WUI turut menyumbang dua set al-Quran dengan setiap satunya memiliki tujuh jenis naskah al-Quran bertujuan mewujudkan ruangan Quran Corner di surau sekolah terbabit.

Selain penyerahan al-Quran, turut diadakan sesi bertadabbur dengan Surah As-Sajdah, ayat satu hingga empat oleh Ketua Unit Pembangunan dan Penyelidikan WUI dan bacaan oleh qariah pelajar SMK Seksyen 19, Muhammad Aiman Syazwan Syahrul Anuar.

Pengetua SMK Seksyen 19, Abdul Rahim Khalid berkata, sumbangan al-Quran itu dapat memberi motivasi dan usaha untuk mendekatkan pelajar dengan al-Quran agar mereka lebih rajin membacanya.

Abdul Rahim Khalid
Abdul Rahim Khalid

"Sesi tadabbur oleh ustaz Safri juga lebih menekankan keperluan membaca al-Quran yang mana kalau kita menghadapi masalah atau musibah, serahkan diri kepada ALLAH SWT dengan membaca al-Quran, bukannya berkongsi masalah dengan kawan semata-mata.

"Jadi, ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan memberi impak besar terutamanya apabila melibatkan pelajar yang terjejas dengan situasi banjir dan Covid-19," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Program itu dihadiri seramai kira-kira 80 orang pelajar membabitkan pelajar tingkatan satu, empat dan lima SMK Seksyen 19.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, melalui sesi tadabbur itu, ia juga dapat membuka minda pelajar untuk sering membaca al-Quran.

"Pelajar sekarang lebih kepada gajet dan media sosial. Kebelakangan ini, generasi kita dah terlalu leka dengan gajet hingga tinggalkan al-Quran.

"Jangan tinggalkan al-Quran. Macam ustaz cakap, sekurang-kurangnya sehari baca satu ayat pun cukup," jelas beliau.