Tindakan tegas jika keluarkan pasir tanpa kebenaran: MB

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dilaporkan menggesa Menteri Besar memberi perhatian serta mengambil tindakan tegas berhubung kegiatan pengambilan pasir di pantai berkenaan, yang dipercayai dijalankan tanpa kebenaran.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dilaporkan menggesa Menteri Besar memberi perhatian serta mengambil tindakan tegas berhubung kegiatan pengambilan pasir di pantai berkenaan, yang dipercayai dijalankan tanpa kebenaran.
A
A
A

IPOH - Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat aktiviti pengeluaran pasir dari Pantai Pasir Panjang di Manjung, yang belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini tiada kerja membawa keluar pasir yang dikesan dilakukan di kawasan pendaratan penyu berkenaan.

“Itu tanah milik (persendirian). Kita tidak boleh halang tuan tanah nak buat aktiviti atas tanah dia kecuali aktiviti pengeluaran pasir yang tidak diluluskan lesen,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Katanya, tindakan akan diambil ke atas pihak yang menjalankan kerja pengambilan pasir sekiranya didapati melanggar undang-undang mengikut peruntukan sedia ada.

Sebelum itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dilaporkan menggesa Menteri Besar memberi perhatian serta mengambil tindakan tegas berhubung kegiatan pengambilan pasir di pantai berkenaan, yang dipercayai dijalankan tanpa kebenaran.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman dilaporkan berkata, tinjauan badan bukan kerajaan (NGO) bagi alam sekitar itu, mendapati pihak terlibat masih beroperasi di kawasan pendaratan penyu itu secara haram tanpa mengendahkan larangan daripada pihak berkuasa sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip ketika dihubungi berkata, pihaknya telah meminta semua jabatan termasuk Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia, dan polis marin bagi mengawal kawasan terbabit dalam memastikan tiada aktiviti membawa keluar pasir.

“Kita juga telah mengeluarkan surat penolakan kepada pemilik tanah supaya tidak melakukan sebarang pemindahan pasir. Bagaimanapun kerja-kerja yang dijalankan di atas tanah itu termasuk pembersihan adalah hak pemilik tanah kecuali jika ada kerja pembangunan yang memerlukan kebenaran Majlis Perbandaran Manjung,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, keadaan kini adalah terkawal sepenuhnya dan pihaknya percaya pemilik tanah tidak akan bertindak membawa keluar pasir dari kawasan berkenaan tanpa lesen, kerana ia akan menghalang proses seterusnya termasuk penjualan yang akan berlaku secara haram.

Pada 3 Januari lepas, Mohamad Fariz dilaporkan berkata, kerja pengambilan pasir di lokasi itu dikesan sejak November lepas dan pihaknya dengan kerjasama MPM telah mengarahkan supaya dihentikan, sementara menunggu kelulusan.

Mohamad Fariz dilaporkan berkata, berdasarkan semakan ke atas permohonan, pihak syarikat itu berhasrat membangunkan kawasan berkenaan yang mempunyai potensi aktiviti perlombongan pasir silika.- Bernama