Kadar pengangguran di bawah 700,000, terendah sejak April 2020

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bilangan pengangguran di negara ini menurun kepada 694,400 individu pada November tahun lalu, sekali gus pertama kali di bawah angka 700,000 dan paling rendah sejak April 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu didorong peningkatan guna tenaga yang berterusan dan berikutan pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial yang merangsang kesan positif terhadap pasaran buruh.

“Bulan November 2021 juga menyaksikan lima lagi negeri telah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara kecuali negeri Kelantan dan Sarawak yang masih berada dalam Fasa Tiga (pada ketika itu).

“Selain itu, kadar vaksinasi lengkap keseluruhan terus meningkat sementara bilangan kes harian Covid-19 semakin berkurang.

“Situasi yang menggalakkan ini juga telah mendorong kepada lebih banyak aktiviti perjalanan dalam dan luar negara pada bulan tersebut, dan selanjutnya turut mempengaruhi pasaran buruh pada November 2021,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi November 2021 pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, mengikut sektor ekonomi, penduduk

bekerja pada November 2021 terus meningkat bagi empat bulan berturut-turut dengan peningkatan 0.4 peratus bulan ke bulan mencatatkan 15.61 juta orang (Oktober 2021: 15.55 juta orang).

Jelasnya, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 66.0 peratus pada November 2021 (Oktober 2021: 65.8 peratus)

Artikel Berkaitan:

“Pada masa yang sama, bilangan penganggur berkurang kepada paras di bawah 700,000 orang buat pertama kalinya, yang mana paling rendah direkodkan sejak April 2020, dengan penurunan sebanyak 1.5 peratus bulan ke bulan kepada 694,400 orang (Oktober 2021: 705,000 ribu orang).

“Kadar pengangguran pada November 2021 kekal seperti bulan sebelumnya iaitu 4.3 peratus berikutan lebih ramai golongan tidak aktif mula mencari pekerjaan yang ditunjukkan oleh penurunan 0.3 peratus luar tenaga buruh kepada 7.34 juta orang pada bulan tersebut (Oktober 2021: 7.36 juta orang),” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memberitahu sektor ekonomi membabitkan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend peningkatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.

Tambahnya, trend sama turut dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan manakala guna tenaga dalam sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian terus menurun.

“Permintaan buruh didapati meningkat selari dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi. Ini termasuk sektor berkaitan pelancongan seperti aktiviti penginapan dan kesenian, hiburan dan rekreasi.

“Selain itu, prospek ekonomi yang lebih meyakinkan juga akan mendorong orang ramai untuk mencari pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Secara rumusannya, Mohd Uzir berkata, kedudukan tenaga buruh Malaysia meningkat secara beransur-ansur sejak Ogos 2021 berikutan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial telah beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

"Pengoperasian aktiviti tersebut secara berterusan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pencari kerja dan seterusnya akan mengukuhkan pasaran buruh pada bulan-bulan yang akan datang," katanya.

Selain itu katanya, bencana banjir yang melanda kawasan tengah dan pantai timur negara baru-baru ini dilihat lebih menjejaskan kawasan setempat dan dijangka tidak memberi impak yang ketara kepada keseluruhan pasaran buruh negara.

"Fasa pemulihan pasaran buruh juga mungkin berdepan dengan cabaran susulan kewujudan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron," katanya.