Siasatan tren tidak berhenti di Kuala Gris siap dua minggu: KTMB

A
A
A

KUALA KRAI - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyerahkan kepada panel siasatan bagi menyiasat secara lebih terperinci berhubung insiden tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat tidak berhenti di hentian Kuala Gris pada Ahad.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, panel tersebut akan membuat siasatan dari pelbagai sudut merangkumi operasi, teknikal dan corak larian tren berkenaan.

"Buat masa ini, KTMB gantung sementara tugas pemandu tren untuk memudahkan siasatan dijalankan. Jadi saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan," katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau operasi tren di hentian Kuala Gris, di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Kawalan Operasi, Afzar Zakariya yang turut beramah mesra dan menaiki tren bersama-sama pelajar dari hentian Kuala Gris ke Stesen Dabong.

Menurutnya, selain itu pembantu pemandu, penyelia dan pemeriksa tiket tren serta beberapa lagi kakitangan lain akan dipanggil sebagai saksi dalam membantu melancarkan proses siasatan.

Beliau berkata, panel tersebut kemudian akan mengemukakan hasil siasatan kepada pihak KTMB untuk membuat keputusan berkait perkara tersebut.

Mohd Zain berkata, setiap kali timbul satu-satu isu, panel siasatan akan diberi mandat untuk menjalankan siasatan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Biasanya, tempoh siasatan yang dibuat oleh panel tersebut mengambil masa selama dua minggu," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Ahad melaporkan kira-kira 100 pelajar SMK Dabong gagal ke sekolah selepas kereta api yang sepatutnya berhenti di hentian Kuala Gris tidak berhenti di kawasan tersebut.

Susulan itu, KTMB telah menggantung tugas pemandu tren berkenaan dan menyifatkan insiden tersebut amat serius dan pertama kali berlaku.