Generasi milenial boleh ‘gegar Malaysia’

Generasi milenial ini perlu diketengahkan dan diberi peluang untuk terus menempa nama dalam arena politik negara.
Generasi milenial ini perlu diketengahkan dan diberi peluang untuk terus menempa nama dalam arena politik negara.
A
A
A

TIDAK dinafikan anak muda hari ini menjadi tulang belakang bagi menjayakan demokrasi baharu dalam proses penentuan agenda negara.

Buktinya, generasi milenial atau Gen Y ini mampu menjadi teladan kepada rakyat ekoran tiadanya sosok elit politik yang dilihat mampu mempamerkan kebersamaan politik.

Justeru, penglibatan mereka dalam politik diperlukan dalam mencorak proses pembentukan politik baharu yang lebih progresif dan mampan.

Persoalannya, bagaimana pemimpin daripada generasi ini boleh membuktikan mereka mempunyai kredibiliti di saat peneraju politik kebanyakkannya ditunjangi kelompok pemimpin generasi ‘boomer’?

Menyedari hal itu, Malaysia sebenarnya perlu mengiktiraf bakat pemimpin daripada generasi ini bukan sahaja sebagai pemimpin masa hadapan tetapi juga pemimpin hari ini.

Generasi ini perlu diketengahkan dan diberi peluang untuk terus menempa nama dalam arena politik negara.

Tidak terlambat untuk mengucapkan syabas kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang akhirnya didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik, baru-baru ini.

Selepas lebih setahun berjuang akhirnya hasrat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mendaftarkan partinya secara sah menjadi realiti.

Artikel Berkaitan:

Partinya menerima lebih 60,000 permohonan keahlian dan angka itu dijangka bertambah.

Nah, apa lagi yang mahu dibuktikan bahawa generasi muda hari ini kurang kesedaran terhadap politik?

Bukan itu sahaja, mengambil contoh penyertaan calon muda dalam PRN Melaka, ia adalah sesuatu yang harus dipuji kerana sedikit sebanyak mengubah landskap politik negara yang didominasi golongan ‘bapak-bapak’.

Kehadiran mereka sesuai dengan kehendak zaman yang mana orang ramai mula menerima ‘pemimpin ranum’ ini untuk meneraju negara.

Malah, trend di beberapa negara maju juga menunjukkan kebanyakan pemimpin muda mula mendapat tempat di peringkat lebih tinggi, sesuai dengan dinamik masyarakat yang banyak berubah.

Iktiraf

Apalah risikonya kepada negara sekiranya generasi muda diberi peluang memimpin, sedangkan mereka jugalah yang akan mewarisi negara ini kelak.

Bukan mahu menidakkan kedudukan golongan pemimpin lama, akan tetapi generasi muda, yakni pemilik kepada era ini semestinya punya formula tersendiri untuk memakmurkan negara, lebih-lebih lagi dalam era pandemik global.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui generasi pemimpin yang seangkatan beliau sudah tamat dan legasi pemerintahan perlu diteruskan oleh generasi muda.

Bukan itu sahaja, penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian juga menjelaskan, sudah tiba masanya Malaysia mengiktiraf kedudukan anak muda yang mempunyai kewibawaan, ketokohan dan kepakaran daripada pelbagai latar belakang, termasuk kesaksamaan jantina, bagi membuka peluang yang boleh diraih dalam PRU15 akan datang.

Menurutnya, langkah memperkenalkan calon baharu adalah tawaran atau penjenamaan baharu yang sesuai dengan perubahan politik arus perdana tanah air.

Jadi, persepsi bahawa orang muda tiada pengalaman wajar dilupuskan. Paling tepat, masyarakat mesti berhenti memandang generasi ini sebagai pengganti.

Politik ortodoks di negara ini sudah kurang relevan, bahkan sudah tiba masa Malaysia membuka peluang seluas-luasnya kepada anak-anak muda.

Jika negara maju mempunyai Perdana Menteri dan Presiden berusia 35 tahun, Malaysia tidak seharusnya menafikan potensi pemimpin muda.

Generasi muda yang berpotensi perlu diberi ruang. Bukan tugas ahli politik membantutkan peranan mereka dalam politik dan kepimpinan parti serta negara.

Sedarlah, anak muda hari ini bukan lagi skuad pelapis negara tetapi anak muda hari ini adalah barisan pemimpin negara.

Sememangnya satu harapan besar buat rakyat Malaysia untuk melihat barisan pentadbiran didominasi oleh golongan muda.

*Muhammad Sahrul Fahiz Mat Ariff ialah Penolong Penerbit Program Sinar Harian