Pengurus syarikat pembinaan didakwa beri rasuah kepada jurutera JKR

Asdi (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad selepas didakwa atas pertuduhan cuba memberi rasuah kepada seorang jurutera JKR pada tahun lalu.
Asdi (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad selepas didakwa atas pertuduhan cuba memberi rasuah kepada seorang jurutera JKR pada tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengurus syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan cuba memberi rasuah kepada seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor untuk mendapatkan kerja-kerja mengganti dan menyelenggara jalan pada tahun lalu.

Asdi Ali, 42, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Asdi cuba memberi suapan RM10,000 kepada jurutera JKR Hulu Selangor, Abu Musa Hamzah, 43, sebagai dorongan kepadanya mendapatkan anggaran harga kerja-kerja membaiki dan meningkatkan keselamatan Jalan Batang Kali-Genting Highlands di Hulu Selangor pada 2019.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kelab golf Forest City di Jalan Persiaran Golf 5, Gelang Patah, dekat sini pada Januari 2019.

Bagi pertuduhan itu, Asdi didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Mohd Aliff turut meminta kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor untuk dibacakan bersama-sama kes melibatkan siasatan yang sama dengan pegawai penyiasatan dan saksi yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mohd Aliff memberitahu, permohonan dibuat mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Nazrin Sulaiman memohon jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin digunakan serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport.

Nazrin memberitahu, pihaknya tidak ada bantahan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam setelah anak guamnya pernah dipanggil ke mahkamah berkenaan pada 21 Disember lalu.

Hakim membenarkan jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam diguna pakai selain membenarkan kes dipindahkan ke mahkamah berkenaan selain menetapkan 26 Januari sebagai sebutan semula kes.