Lima lelaki ditahan main judi

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah kafe di Taman Sentosa, Batu 3 1/2, Lukut, Port Dickson pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah kafe di Taman Sentosa, Batu 3 1/2, Lukut, Port Dickson pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

PORT DICKSON- Lima lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 35 tahun yang sedang bermain judi ditahan ketika serbuan polis di sebuah kafe di Taman Sentosa, Batu 3 1/2, Lukut, di sini pada Khamis.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan pada jam 11.40 malam itu dilakukan oleh sepasukan polis dari cawangan (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

"Ketika serbuan, kesemua lelaki itu duduk di sebuah meja di sebelah kiri premis sedang bermain judi menggunakan daun terup dengan mempertaruhkan wang tunai.

"Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah merampas satu set daun terup yang mengandungi 52 keping kad dan wang tunai sebanyak RM799. Beberapa pelanggan yang sedang minum di premis itu turut diperiksa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, semakan rekod juga mendapati hanya seorang suspek mempunyai rekod lampau dadah manakala yang lain tidak mempunyai sebarang rekod.

"Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula Jumaat di Lokap Balai Polis Port Dickson untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat bawah Sekyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana bermain judi di dalam bangunan yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: