Masuk kedai judi kononnya mahu tukar duit RM50

MERSING – Alasan mahu menukar wang RM50 digunakan lelaki warga emas beragama Islam terbongkar selepas ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika berada di sebuah kedai judi nombor ekor di daerah ini.
JAINJ dalam kenyataannya memaklumkan, kedua-dua lelaki berusia 79 dan 68 tahun itu ditahan ketika anggota penguat kuasa menjalankan rondaan di premis berkenaan baru-baru ini, sebelum mengesan kehadiran dua individu dipercayai beragama Islam di dalam kedai itu.
"Seramai enam anggota penguat kuasa lelaki kemudian memasuki premis berkenaan dengan menyamar seperti pelanggan yang mahu membeli nombor ekor.
"Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit menunjukkan reaksi mencurigakan apabila melihat kehadiran anggota yang tidak dikenali di kawasan Endau sebelum cuba keluar dari premis itu," menurut kenyataan berkenaan.
Menurut JAINJ, lelaki pertama yang sudah berkahwin memberikan alasan masuk ke kedai itu untuk menukar wang RM50, malah menunjukkan wang berkenaan ketika disoal siasat.
"Seorang lagi lelaki berusia 68 tahun yang berstatus duda pula mendakwa dia bukan mahu membeli nombor ekor, sebaliknya hanya masuk untuk melihat-lihat nombor sahaja.
"Kedua-duanya saling mengenali dan kelihatan menggigil ketika ditahan, namun anggota penguat kuasa memberikan layanan baik tanpa sebarang tekanan," katanya.
JAINJ berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berjudi atau berada di rumah judi mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengulas alasan diberikan individu yang ditahan, JAINJ berkata, pihaknya sudah biasa berdepan pelbagai alasan yang digunakan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
"Antara alasan yang pernah diberikan termasuk mahu mencari kawan, berteduh daripada hujan, memeriksa anai-anai, bertanya waktu, mencari pemilik motosikal untuk mengalihkan kenderaan dan ada juga mendakwa masuk untuk menjual gas memasak.
"Alasan mahu menukar wang juga bukan sesuatu yang asing dalam kalangan individu yang ditahan," menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

