Benarkan penggunaan Arena Tenis untuk latihan atlet

Fazwil (dua dari kiri) menyampaikan cek sumbangan Persatuan Lawn Tenis Perak kepada Mitsuki dan Shihomi di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Perak di sini pada Sabtu.
Fazwil (dua dari kiri) menyampaikan cek sumbangan Persatuan Lawn Tenis Perak kepada Mitsuki dan Shihomi di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Perak di sini pada Sabtu.
A
A
A

PERSATUAN Lawn Tenis Perak menggesa agar Arena Tenis Perak dibenar untuk digunakan oleh atlet tenis negeri ini berlatih menjelang beberapa kejohanan yang akan datang.

Naib Presidennya, Fazwil Abdul Wahid berkata, atlet tenis di negeri ini berdepan kekangan untuk membuat latihan apabila terpaksa berkongsi gelanggang dengan orang awam menggunakan gelanggang tenis Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini.

Menurutnya, penggunaan gelanggang di Arena Tenis Perak itu amat penting terutama bagi atlet-atlet yang akan menyertai Kejohanan Tenis Dunia Junior Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) tidak lama lagi.

"Sebelum ini, kita difahamkan Arena Tenis Perak itu digunakan untuk kemudahan bagi pesakit Covid-19. Jadi dengan jumlah pesakit yang semakin berkurangan dan ada tempat yang lebih sesuai, mungkin arena tersebut dapat digunakan semula oleh atlet.

"Kita amat berharap pihak-pihak yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk kerajaan negeri sendiri melihat perkara ini bagi membolehkan atlet sukan tenis ini terus berlatih di tempat yang sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Bantuan untuk Pemain Tenis Negara di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Perak di sini pada Sabtu.

Fazwil berkata, Perak mempunyai ramai atlet tenis yang berbakat malah hampir separuh daripada atlet tenis negara merupakan anak Perak.

Menurutnya, disebabkan itu Arena Tenis Perak perlu dibuka semula untuk latihan kepada atlet-atlet sedia ada kerana dua tahun mereka tidak dapat menjalani latihan di gelanggang tersebut.

Jelasnya, ketika ini terdapat dua atlet negara yang merupakan anak Perak iaitu Mitsuki Leong Wei Kang, 17 dan Shihomi Leong Li Xuan, 14, sedang mempersiapkan diri ke Kejohanan Tenis Dunia Junior ITF yang akan berlangsung pada 24 hingga 29 Januari di Singapura.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Mitsuki kini berada di ranking 213 dunia bagi kategori perseorangan remaja lelaki manakala Shihomi pada kedudukan 1,157 perseorangan remaja wanita dunia.

"Kedua-dua atlet ini sedang mengejar ranking dunia dan mereka sebenarnya boleh pergi lebih jauh tetapi kekangan pandemik menyebabkan usaha itu terbantut.

"Kita juga berdepan kekangan dana untuk membawa mereka bertanding ke kejohanan yang lebih besar bagi melayakkan mereka mendapat ranking terbaik seterusnya menyertai kejohanan dunia," katanya.

Sementara itu, Fazwil mengalu-alukan syarikat-syarikat korporat untuk menyumbang dana bagi menaja atlet untuk bertanding ke kejohanan besar dunia.

Katanya, sumbangan itu amat diperlukan kerana atlet-atlet tenis muda yang sedia ada amat berbakat dan mampu pergi lebih jauh.

Beliau berkata, pada tahun ini juga Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Tenis Dunia Junior ITF yang mana Ipoh bakal menjadi salah satu lokasi kejohanan.

Sehubungan itu, Fazwil mengharapkan kerajaan negeri menerusi Tourism Perak dapat memberikan sokongan kepada kejohanan tersebut yang akan menyaksikan kehadiran atlet antarabangsa daripada hampir 30 negara.

Pada majlis itu, Persatuan Lawn Tenis Perak memberikan sumbangan RM2,500 kepada kedua-dua atlet berkenaan sebagai persediaan ke kejohanan di Singapura nanti.