Banjir: Sesi persekolahan 31 sekolah di Johor ditangguhkan

Mazlan (kiri) bersama Hasni (dua,kiri) ketika menyampaikan piala kepada juara keseluruhan Festival Permainan Tradisional di sini pada Sabtu.
Mazlan (kiri) bersama Hasni (dua,kiri) ketika menyampaikan piala kepada juara keseluruhan Festival Permainan Tradisional di sini pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sesi persekolahan bagi 31 sekolah di negeri ini yang masih terjejas akibat banjir akan ditangguhkan sehingga keadaan pulih.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, perkara itu diputuskan selepas melihat keperluan semasa memandangkan sesi persekolahan yang sepatutnya bermula pada 9 Januari.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 23 buah sekolah telah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sementara selebihnya masih dinaiki air.

"Sebelum ini, sebanyak 46 buah sekolah di negeri ini dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terkesan akibat banjir. Dalam keadaan banjir semakin pulih, separuh daripadanya sudah ditutup.

"Bagi sekolah yang masih dijadikan PPS, ia tidak akan beroperasi esok dan akan kekal menjadi PPS sehinggalah isu banjir ini selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Festival Permainan Tradisional di sini, pada Sabtu. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Difahamkan, sebanyak 1,184 buah sekolah di negeri ini dijadualkan menjalani sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022 pada 9 Januari mengikut jadual yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Daripada jumlah itu, seramai 684 pelajar di negeri ini telah dipindahkan ke PPS. Sehingga kini, 369 daripadanya masih berada di PPS yang masih dibuka.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, sekolah yang masih dijadikan PPS itu melibatkan Segamat (lapan sekolah), Tangkak (lapan sekolah), Muar (lima sekolah) dan di Batu Pahat (dua sekolah).

Sekolah yang dinaiki air pula kata beliau, melibatkan Tangkak (empat sekolah), Segamat (tiga sekolah) dan Muar (satu sekolah).

“Melihat keadaan ini, sesi persekolahan bagi lapan buah sekolah yang terjejas itu hanya akan bermula sebaik keadaan banjir pulih.

"Setelah keadaan banjir pulih dan kerja-kerja pembersihan selesai, barulah sekolah ini akan menyambung sesi persekolahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi sekolah lain yang tidak terlibat banjir, sesi persekolahan akan berjalan seperti seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

END