Dua treler terbakar selepas kemalangan

Keadaan dua buah treler yang terbakar selepas kemalangan.
Keadaan dua buah treler yang terbakar selepas kemalangan.
A
A
A

SEREMBAN - Dua buah treler muatan komponen kren dan kertas kitar semula terbakar hampir 90 peratus selepas terlibat kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Kilometer 268.3 berhampiran susur tol Ainsdale di sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu membabitkan dua buah treler jenis Volvo.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku apabila treler muatan kertas kitar semula yang dipandu seorang lelaki berumur 28 tahun dari arah Johor menuju ke arah Bentong,Pahang melanggar bahagian belakang treler muatan komponen kren yang berhenti di lorong kecemasan disyaki mengalami kerosakan tayar.

"Pelanggaran itu menyebabkan lori muatan kertas kitar semula terbakar dan pemandunya mengalami kecederaan di bahagian mulut, manakala pemandu treler muatan komponen kren yang merupakan lelaki berumur 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Keadaan di lokasi selepas kemalangan awal pagi Sabtu.
Keadaan di lokasi selepas kemalangan awal pagi Sabtu.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan ii, Muhd Zulfadli Ahamd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.19 tengah malam.

Menurutnya, anggota berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran kerana ketiadaan sumber air dan pili bomba di kawasan lebuh raya.

Artikel Berkaitan:

"Anggota meneruskan operasi memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozzle sumber tangki Fire Rescue Tender (FRT) dan lori tangki air.

"Operasi memadamkan kebakaran tamat pada jam 4.20 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.