Tempoh sebulan baiki pusat rekreasi Air Terjun Sungai Gabai: MB

Amirudin ketika sidang akhbar khas pemulihan pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Jumaat.
Amirudin ketika sidang akhbar khas pemulihan pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyasarkan tempoh sebulan untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih pusat rekreasi Air Terjun Sungai Gabai di Hulu Langat yang rosak akibat banjir.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya memerlukan khidmat nasihat daripada Jabatan Perhutanan Selangor kerana kawasan tersebut berada di bawah kelolaan pihak terbabit.

Menurutnya, pihak terbabit juga akan memaklumkan jumlah peruntukan yang diperlukan bagi kerja-kerja baik pulih pusat rekreasi berkenaan yang kini ditutup kepada pengunjung.

"Saya tahu luruan air dari kepala air yang meranjau dari Batu 23 sampai Batu 10, di sini memberikan kesan buruk kepada struktur di kawasan perkelahan tersebut.

"Saya anggarkan selama sebulan untuk baik pulih kawasan tersebut dan jumlah peruntukan sedang dirangka oleh pihak terbabit," katanya ketika sidang akhbar khas pemulihan pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Jumaat.

Pada Isnin lalu, pusat rekreasi Air Terjun Sungai Gabai, Hulu Langat yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir ditutup kepada pengunjung berikutan tidak selamat untuk dikunjungi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dalam kenyataannya di Facebook memaklumkan, penutupan itu dilakukan atas nasihat Jabatan Perhutanan dan Bahagian Pelancongan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

Dalam perkembangan berasingan, Amirudin berkata, kerja-kerja menyelenggara Sungai Langat yang melibatkan proses pengukuhan dan mendalamkan tebing Sungai Langat mengambil masa lima tahun untuk diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebahagian daripada projek di Sungai Langat termasuk dalam peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang mana, sekitar RM1 bilion diperuntukkan untuk sambungan di antara Sepang dan Hulu Langat serta kawasan sekitarnya.

Menurutnya, projek tersebut mula dijalankan sejak beberapa hari lalu hasil daripada nasihat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang dibentangkan kepada pihaknya pada Khamis.

"Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM9.18 juta, yang mana sebahagiannya digunakan untuk Sungai Langat bagi kerja-kerja mendalam dan pengukuhan tebing selepas bencana banjir yang berlaku di Hulu Langat.

"Projek-projek tersebut sedang dibuat walaupun sebelum ini terhenti dan kita perlu kaji semula. Namun hasil daripada nasihat JPS yang dibentangkan pada Khamis, ia telah mula dijalankan beberapa hari lalu." katanya.

Pada Jumaat, penduduk di Kampung Sungai Sop, Batu 14, di sini menggesa projek mendalam dan melebarkan Sungai Langat diteruskan untuk mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut.

Salah seorang penduduk, Shaharuddin Ibrahim, 62, berkata, pihaknya pernah mengajukan permasalahan itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Langat, Edry Faizal Eddy Yusof berkenaan perancangan jangka panjang mengatasi isu banjir yang sering melanda Hulu Langat setiap tahun.

Pertanyaan diutarakan itu ketika sesi taklimat yang dihadiri oleh Edry bersama Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Aini Ahmad pada 15 Disember tahun lalu.