Polis sudah ambil keterangan pemandu Axia

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis telah mengambil keterangan pemandu kereta jenis Perodua Axia yang terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi (Arah Kota Tinggi) di sini, pada Khamis.

Kemalangan itu menjadi tular di laman sosial Facebook apabila pemandu kenderaan berkenaan didakwa melarikan diri selepas melanggar pasangan suami isteri dan dua anaknya yang masih kecil.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superitendan Lim Jit Huey berkata, berdasarkan laporan diterima, kemalangan itu dipercayai berlaku kira-kira jam 6.00 petang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan motosikal jenis Yamaha FZ.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, isteri dan dua anaknya mengalami kecederaan serta kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Sebaik berlaku kemalangan itu, pemandu kenderaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan datang ke balai untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Jit Huey berkata, keterangan pemandu berkenaan telah dirakam dan siasatan kini dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) memohon saksi yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberi maklumat di balai trafik JBS untuk membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi sendiri penolong pegawai penyiasat bagi kes ini di talian 019-7533893,” katanya.

Artikel Berkaitan: