Operasi korek pasir silika atas tanah milik syarikat

PDT Manjung dan MPM menjalankan pemantauan di lot yang menjalankan aktiviti pengambilan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Lumut. - Foto: FB Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.
PDT Manjung dan MPM menjalankan pemantauan di lot yang menjalankan aktiviti pengambilan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Lumut. - Foto: FB Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.
A
A
A

LUMUT - Status tanah milik syarikat menyebabkan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pengambilan pasir silika di sebuah lot di Pantai Pasir Panjang, Segari di sini terbatas.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung berkata, lot tersebut bukannya berstatus tanah kerajaan menyebabkan pihaknya sukar untuk menyita jentera dan menahan individu yang terbabit dalam kerja-kerja tersebut.

Pihaknya bagaimanapun telah menasihati pemilik bahawa tanahnya adalah kawasan sensitif alam sekitar tahap satu.

"Sejak tahun lalu sudah beberapa kali pemantauan telah dilakukan dan meminta supaya pemilik tanah menghentikan kerja-kerja pengorekan pasir ini dan mereka bersetuju serta akur dengan arahan penguat kuasa.

"Sebarang pengorekan hanya boleh dilakukan setelah mendapat kelulusan Jawatankuasa Permohonan Pasir Silika dan Permit Khas Mineral, jika diluluskan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

MPM telah memasang 'barricade tape' di sekitar tapak lokasi aktiviti pengambilan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Lumut. - Foto: FB Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.
MPM telah memasang 'barricade tape' di sekitar tapak lokasi aktiviti pengambilan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Lumut. - Foto: FB Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

Menurutnya, bertindak atas aduan yang diterima daripada Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), aktiviti pengorekan pasir di atas tanah milik terbabit diarah dihentikan serta-merta pada Isnin.

"Pemantauan bersepadu ini turut dilakukan dari laut oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak dan PDT Manjung untuk melihat bukti-bukti sekiranya pihak pemilik tanah pernah mengeluarkan pasir silika menggunakan jalan air atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pentadbiran daerah telah dimaklumkan bahawa sebarang permohonan lesen atau permit bagi aktiviti pengambilan pasir belum dikeluarkan," katanya.

Katanya, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah memasang 'barricade tape' di sekitar tapak lokasi di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974/Akta 133.

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.