Tiada keperluan rombak kabinet: Hadi

Abdul Hadi (tengah) selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.
Abdul Hadi (tengah) selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.
A
A
A

MARANG - Pas berpandangan tiada keperluan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merombak barisan kabinet kerajaan sedia ada.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana semua jemaah menteri yang dilantik dilihat telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

"Saya harap menteri sedia ada dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Namun menurut Abdul Hadi, terpulang kepada keputusan Perdana Menteri sekiranya rombakan tersebut perlu dilakukan untuk penambahbaikan kerajaan.

Bagaimanapun jelas beliau, setakat ini pertukaran menteri kabinet tidak dibincangkan walaupun desas-desus isu berkenaan sedang hangat diperkatakan.

"Saya tidak dengar dan tidak dapat maklumat (rombakan kabinet). Biasanya kami bincang juga tapi belum terima apa-apa lagi, jadi ia mungkin hanya khabar angin," katanya.

Ditanya mengenai keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Marang itu menyerahkan keputusan berkenaan kepada Ismail Sabri.

"Terpulang kepada Perdana Menteri kerana dia yang menjalankan tugas. Kalau dia rasa perlu pembantu, terpulanglah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejak kebelakangan ini, timbul desas-desus bahawa Ismail Sabri akan melakukan rombakan kabinet dengan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dan menggugurkan tiga menteri daripada jawatan yang disandang mereka.

Bagaimanapun Perdana Menteri pada Selasa berkata, tidak akan ada rombakan kabinet setakat ini, sebaliknya tumpuan kerajaan kini kepada isu yang mencengkam rakyat terutamanya bencana banjir dan pandemik Covid-19.