Kadar bayaran pengambilan pembantu rumah asing RM1,136

Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar bayaran yang dikenakan kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi pengambilan Pembantu Rumah Asing (PRA) adalah rendah iaitu RM1,136.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah itu merangkumi kadar bayaran levi, visa mengikut negara, fi proses, bayaran pas, wang jaminan dan beberapa bayaran lain berkaitan.

“Untuk rekod, negara sumber yang dibenarkan bagi sektor PRA adalah tidak terhad kepada beberapa negara sahaja.

“Majikan bebas memilih pembantu rumah asing dari Filipina, Indonesia, India, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Kemboja, Nepal dan Laos.

“Setiap pengambilan PRA perlu mematuhi syarat-syarat kelayakan yang digariskan seperti umur, jantina dan lulus pemeriksaan kesihatan oleh pemeriksaan perubatan pekerja asing (Fomema) apabila tiba di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan berkenaan isu kos pengambilan PRA yang didakwa terlalu tinggi dan kerajaan diminta untuk memberikan penjelasan berhubung peningkatan tersebut.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, sehingga 31 Disember 2021, terdapat seramai 88,173 PRA yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai prosedur permohonan PRA dengan melayari portal rasmi Jabatan www.imi.gov.my atau media sosial rasmi Imigresen,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan: