Enam kali hantar surat rayuan rumah PPR

Noor Herra Hardiana tidak dapat menahan sebak ketika ditemu ramah pemberita.
Noor Herra Hardiana tidak dapat menahan sebak ketika ditemu ramah pemberita.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ibu tunggal di Flat Taman Sri Mawar di sini menaruh harapan tinggi agar permohonannya memiliki Projek Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan segera.

Noor Herra Hardiana Badri, 37, berkata, ketika ini dia dan anaknya, Muhammad Danish Riza Hadi, 6, menyewa di Flat Taman Sri Mawar, Senawang dengan bayaran RM450 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, dengan pendapatan tidak menentu menjual produk kesihatan secara dalam talian, agak sukar untuk menjelaskan sewa berkenaan sehingga terpaksa meminjam wang daripada ibunya.

"Dalam sebulan, saya hanya dapat RM200. Tapi mujurlah ada bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM300. Setidak-tidaknya dapat meringankan beban saya.

"Banyak kali saya terpaksa meminjam dengan ibu untuk membayar sewa dan bil utiliti kerana tidak berkemampuan. Sebab itu saya sangat berharap dapat rumah PPR yang sewanya lebih rendah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya pada Rabu.

Noor Herra Hardiana berkata, sudah enam kali dia membuat surat rayuan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk mendapatkan rumah PPR.

"Saya masih berharap untuk dapat rumah PPR. Kalau dapat rumah itu, tenanglah sikit hidup saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Herra Hardiana membuat siaran langsung dari rumahnya di Flat Taman Sri Mawar, Seremban untuk menjual produk kesihatan sambil ditemani anaknya.
Noor Herra Hardiana membuat siaran langsung dari rumahnya di Flat Taman Sri Mawar, Seremban untuk menjual produk kesihatan sambil ditemani anaknya.

Selain itu, katanya, apa yang menjadi masalah buatnya ketika ini adalah untuk mencari pekerjaan tetap kerana perlu memberi tumpuan kepada anak tunggalnya yang mempunyai masalah autisme.

Malah, dia sudah lima kali diberhentikan kerja kerana kerap mengambil cuti untuk menguruskan hal anaknya itu.

"Sebab itulah saya hanya berniaga dalam talian supaya mudah nak menguruskan anak kerana dia perlu menerima rawatan susulan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah.

"Masalah autisme anak saya ini pula mudah berubah-ubah. Sebab itu banyak rawatan susulan dengan pakar kanak-kanak dan psikiatri," katanya.

Noor Herra Hardiana menerima kunjungan Zulkifli (tiga dari kanan) di rumahnya di Flat Taman Sri Mawar, Seremban pada Rabu.
Noor Herra Hardiana menerima kunjungan Zulkifli (tiga dari kanan) di rumahnya di Flat Taman Sri Mawar, Seremban pada Rabu.

Noor Herra Hardiana berkata, dia tidak boleh sewenang-wenangnya menukar tempat rawatan anak ke hospital lebih dekat kerana perlu menjalani prosedur rawatan dari awal.

Selain itu, katanya, setiap minggu dia akan pulang ke kampung untuk mengambil barang dapur selain kerap kali terpaksa meminjam bahan mentah daripada jiran.

"Duit saya banyak diperuntukkan untuk anak. Dia pun perlu minum susu khas dengan kos RM300 sebulan untuk perkembangan otaknya.

"Ini pun saya belum lagi mendaftar sekolahnya kerana nak cari sekolah yang dekat dengan rumah. Saya berharap sangat dapat rumah PPR," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubunginya di talian 010-5265316 atau Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed di talian 012-3605143.