Rasa pelik anak masih Darjah Dua tahun 2022

No Image Caption
A
A
A

WALAUPUN kita sudah masuk Tahun Baharu 2022, namun anak Merak Jalanan belum lagi masuk kelas baharu, masih kekal Darjah Dua.

Sebenarnya, Merak Jalanan rasa janggal kerana tahun ini tidak sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Kebiasaannya masuk bulan Januari, kita akan sibuk menghantar anak untuk memulakan sesi persekolahan baharu.

Tahun ini, sekolah kembali dibuka 10 Januari tetapi murid-murid perlu kekal belajar di kelas yang sama sehingga bulan Mac.

Merak Jalanan faham situasi itu berlaku kerana kementerian mahu murid benar-benar bersedia dan sempat menghabiskan pembelajaran yang tertangguh.

Diharap dalam tempoh dua bulan terakhir ini, guru-guru juga sempat menilai semula penguasaan murid-murid terutama yang masih belum boleh membaca.

Satu lagi perkara yang amat dikhuatiri sekarang adalah trend jangkitan varian Omicron kepada kanak-kanak yang meningkat di Amerika Syarikat (AS). Merak Jalanan risau kesan kes Omicron mungkin akan meningkat bila sekolah mula dibuka nanti.

Data awal menunjukkan, berbanding varian Delta, Omicron lebih menyebabkan gejala ringan ke atas golongan kanak-kanak.Justeru, Merak Jalanan berharap semua ibu bapa dapat memastikan anak masing-masing sihat sebelum menghantar mereka ke sekolah.

Jika ada yang demam, selesema atau batuk, janganlah hantar juga ke sekolah atau taska kerana anda akan menyusahkan orang lain, sekali gus menyebabkan berlakunya penularan jika anak positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Bermula Isnin nanti, Merak Jalanan juga berharap tiada lagi yang bersesak. Amalkan penjarakan sosial.

Semua ibu bapa perlu tunjuk contoh yang baik kepada anak-anak agar patuh arahan ditetapkan pihak sekolah.